NegeriTerengganu

Pulangnya ‘Mat Brehim’, Pejuang Istiqamah

DUNGUN – Majlis Tindakan DUN (MTD) Sura, menerima berita sedih apabila Setiausaha MTD Sura, Mohamed Ibrahim Sini Mohamed (Mat Brehim), 60, seorang pejuang yang istiqamah, telah menemui Maha Pencipta.

Beliau meninggal dunia ketika menghadiri Muktamar PAS di Kuantan, Pahang baru baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik menzahirkan rasa sedih dan kehilangan atas pemergian seorang rakan, guru dan banyak menjadi rujukan serta menjadi sering kali menasihatkan beliau dalam pengurusan jentera DUN.

Wan Hapandi berkata almarhum adalah seorang yang sangat istiqamah kepada perjuangan parti dan banyak berkorban dijalan Allah.

“Kami kehilangan sebutir permata yang banyak berkorban dan mewakafkan diri dan keluarganya bagi meninggikan kalimah Allah Taala.

“Kami bersaksi bahawa arwah sangat bersungguh dalam amanah yang dipikulnya dan keikhlasan perjuangannya selama ini,” ujar beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Sura.

Arwah merupakan Penyelia Imits Dun Sura dan juga Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Dungun menghembuskan nafas terakhir semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang akibat serangan jantung kira kira jam 10:35 malam.

Jenazah Allahyarham selamat dimandikan dan dikuburkan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya , Kampung Molek.

Solat jenazah diimamkan oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun merangkap Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli bersama sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ustaz Ariffin Deraman, ADUN Sura, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik dan Pengarah Imits Negeri Terengganu, Ustaz Kamarulzaman Abdullah serta hampir 1,000 orang warga Dun Sura.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir pada arwah Menteri Besar Terengganu merangkap Naib Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri, pimpinan PAS negeri dan badan badan bukan kerajaan (NGO).

Penglibatan beliau dalam perjuangan seawal usia remaja, menjadikan beliau seorang yang sangat patuh dan taat kepada parti.

Sangat besar jasa dan pengorbanan, sifat serta sikapnya yang sangat komited dalam perjuangan Islam menjadi contoh dan tauladan kepada generasi muda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️