NegeriTerengganu

Patah Tumbuh Sukar Dicari Ganti

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Kepulangan Mohamed Ibrahim Sini Mohamed ke rahmatullah merupakan satu kehilangan yang amat terasa dan disifatkan sebagai patah tumbuh sukar dicari ganti.

Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli menyifatkan Ketua Bilik Gerakan PAS Kawasan itu, seorang yang sangat cemerlang di dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan.

“Arwah sanggup melakukannya seorang diri, sekiranya arahan atau keputusan mesyuarat, menghendaki laksanakan keputusan, dan orang lain tidak mengambil peduli.

” Arwah akan buat seorang diri sehingga berjaya, saya sangat kagum dengan gerak kerja arwah dan motonya satu, mahu melihat semua DUN di Dungun, PAS menang, Terengganu diperintah oleh PAS,” cerita beliau dengan nada pilu.

Ahli Parlimen Dungun itu memberitahu demikian ketika dihubungi di sini pada 24 Jun.

Menurut Wan Hassan, Allahyarham sebagai Setiausaha Majlis Tindakan DUN Sura, adalah figura penting di sebalik kejayaan berulang kali DUN tersebut memenangi Anugerah Bilik Gerakan Terbaik daripada Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu(BPPNT).

“Saya baru diberitahu, arwah memberitahu sahabat – sahabat, ini adalah muktamar terakhir arwah hadir, sebelum ini, ingat arwah hanya berseleroh, rupa – rupanya ada kebenarannya, cita – cita arwah untuk mati ketika berjuang dalam Islam termakbul, Alhamdulillah, ” tambah beliau.

Allahyarham yang diserang sakit jantung ketika menghadiri Muktamar Tahunan PAS Kali Ke 65 di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada 22 Jun telah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan dan menghembuskan nafas terakhir di sana.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Dungun, Naraza Muda menyifatkan Allahyarham sebagai ‘bank data’.

” Sebagai Ketua Bilik Gerakan, semuanya ada di dalam ‘kepala’ arwah dan arwah sangat amanah dalam menyimpan rahsia itu, ” ujarnya sambil melahirkan rasa kagum kepada insan yang telah mewakafkan diri sepenuhnya kepada PAS.

Naraza turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu cabaran besar kepada PAS Kawasan tersebut.

” PAS Kawasan Dungun amat terasa kehilangannya, seorang yang dedikasi, arwah yang merancang, mengatur dan arwah juga yang menjadi pelaksananya, program-program untuk menarik pengundi,” tuturnya dengan suara menahan sebak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️