Derita Pengidap Kanser Payudara Dapat Perhatian PAS Kemasik
Oleh : Khalid Abdullah
KEMAMAN – Derita seorang ibu muda, Suraini Ibrahim, 35,[Gambar – tengah berbaju biru]yang diuji dengan penyakit kanser payudara tahap dua mendapat perhatian dan simpati PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik.
Ketua Dewan Muslimat PAS DUN Kemasik, Ustazah Narliati Lamsah berkesempatan menyantuni ibu muda tersebut pada Isnin lalu, di kediaman beliau di Kertih, di sini.
Menurut Suriani, beliau langsung tidak menyangka ketulan kecil di payudara sebelah kiri pada peringkat awal menandakan sesuatu yang berbahaya.
“Selepas dibiarkan, lama-kelamaan payudara itu semakin membengkak dan menyakitkan,” cerita beliau.
Ibu kepada dua anak lelaki, Muhammad Ikwan Rahimi, 7 dan Muhammad Ilham Fahmi, 4, mengakui kesakitan akibat kanser payudara telah mengajar beliau banyak perkara termasuk perlu optimis untuk meneruskan kehidupan.
“Suami dan anak-anak banyak berkorban, nasib saya kurang baik, mengidap barah pada usia muda ketika mereka perlukan perhatian sebaiknya dari saya,” tambah beliau.
Kata Suraini lagi, selepas selesai pembedahan di Hospital Kemaman pada Januari awal tahun 2018 lalu, beliau perlu melalui beberapa siri rawatan kemoterapi.
Dalam tempoh memeritkan itu, dia sukar untuk makan kerana asyik muntah sehingga berlarutan selama dua atau tiga hari.
“Terpaksa melalui lapan pusingan kemoterapi pada setiap tiga atau empat minggu sekali dan kini masih berbaki dua rawatan.
“Sakit waktu rawatan kemoterapi itu Tuhan sajalah yang tahu. Bukan saja muntah, tetapi saya hilang selera makan, lidah rasa kosong, tekak payau dan rasa panas yang amat.
“Habis segala rambut dan bulu-bulu gugur masa jalani rawatan dan apabila diuji dengan penyakit sebegini banyak kenangan pahit yang sukar dipadamkan daripada ingatan,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Ustazah Narliati yang juga Penolong Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kemasik menitipkan pesanan supaya ibu muda tersebut lebih tabah menghadapi ujian sakit dan menghulurkan sumbangan tanda simpati dari PAS DUN Kemasik.