Guru pondok tunjang lahir generasi berilmu dan berakhlak
Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Dato’ Tuan Saripudin
KOTA DARULNAIM, 12 Julai — Guru dan warga pendidik merupakan tunjang utama dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak serta mampu mendepani cabaran semasa tanpa mengabaikan nilai-nilai Islam.
Sehubungan itu, Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, profesionalisme guru dan kakitangan institusi pengajian pondok perlu terus diperkasa bagi memastikan kecemerlangan pendidikan Islam dapat dipertahankan seiring keperluan semasa.
“Guru dan warga pendidik merupakan tunjang utama dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan mampu menghadapi cabaran semasa tanpa mengabaikan nilai-nilai Islam,” katanya di laman rasmi, semalam.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru dan Kakitangan Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK) atau Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) Tahun 2026 yang berlangsung di Sudara Beach Resort, Kuala Telong pada 10 hingga 11 Julai.
Menurutnya, usaha meningkatkan kompetensi dan profesionalisme warga pendidik perlu dilaksanakan secara berterusan supaya institusi pengajian pondok terus berkembang sebagai institusi pendidikan yang relevan tanpa mengorbankan identiti pendidikan Islam.
“Usaha memperkukuhkan profesionalisme pendidik perlu sentiasa diperkasa agar institusi pondok terus kekal relevan dan cemerlang,” katanya.
Beliau memaklumkan, penganjuran kursus seperti LADAP menjadi platform strategik untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta budaya kerja profesional dalam kalangan guru dan kakitangan Pusat Pengajian Pondok YIK.
Tambahnya, pembangunan modal insan yang berkualiti memerlukan warga pendidik sentiasa memperbaharui ilmu, memperkukuh kemahiran dan menyesuaikan pendekatan pengajaran dengan keperluan semasa tanpa mengabaikan nilai serta tradisi pendidikan Islam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas komitmen menjayakan program berkenaan serta mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang menunjukkan kesungguhan sepanjang mengikuti kursus tersebut.
Sumber: inforakyat.kelantan.my
