Fire Point Telok Renjuna bantu kesiapsiaagan komuniti hadapi kebakaran
Oleh: Irham Hilmi Hashim
TUMPAT, 12 Julai — Penubuhan Fire Point oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Masjid Telok Renjuna adalah langkah strategik dalam membantu kesiapsiagaan komuniti, sekali gus membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku kebakaran sementara menunggu ketibaan pasukan bomba dari bandar Tumpat.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata kemudahan itu amat signifikan memandangkan Pulau Telok Renjuna hanya boleh diakses melalui laluan air, sekali gus menjadikan faktor masa sebagai elemen kritikal ketika menghadapi kecemasan.
“Dalam situasi kebakaran, kelewatan beberapa minit sahaja boleh merisikokan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.
“Justeru, penubuhan Fire Point oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Telok Renjuna merupakan satu langkah yang sangat strategik dan tepat bagi membolehkan tindakan awal diambil sementara menunggu ketibaan pasukan bomba dari bandar Tumpat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial rasminya selepas merasmikan Fire Point Masjid Telok Renjuna, semalam.
Menurutnya, Fire Point yang dilengkapi peralatan asas pemadaman kebakaran akan membolehkan anggota Bomba Komuniti melaksanakan tindakan awal bagi mengawal kebakaran sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Beliau berkata pemilihan Masjid Telok Renjuna sebagai lokasi Fire Point juga amat bertepatan kerana institusi masjid sejak zaman Rasulullah SAW bukan sahaja berperanan sebagai pusat ibadah, malah menjadi pusat penyatuan ummah, kebajikan dan pengurusan masyarakat.
“Pada hari ini, peranan masjid terus berkembang apabila turut berfungsi sebagai pusat kesiapsiagaan bencana dan pusat pemindahan bagi membantu masyarakat menghadapi situasi kecemasan,” ujarnya.
Tambahnya, usaha memperkasakan fungsi masjid itu diperkukuh menerusi penubuhan pasukan Bomba Komuniti Telok Renjuna yang dipimpin oleh imam masjid sendiri, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan penduduk.
Dalam pada itu, beliau berharap kemudahan yang disediakan dapat dipelihara sebaik-baiknya oleh anggota Bomba Komuniti dan seluruh penduduk sebagai amanah bersama.
“Fire Point ini bukan sekadar sebuah stor menyimpan peralatan tetapi merupakan lambang budaya pencegahan, kesiapsiagaan dan semangat gotong-royong dalam menjaga keselamatan komuniti,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli Bomba Komuniti Telok Renjuna yang tampil secara sukarela memikul tanggungjawab membantu menjaga keselamatan penduduk setempat.
Katanya, penyertaan sukarelawan dalam pasukan tersebut membuktikan semangat keprihatinan masyarakat yang tinggi dalam memastikan komuniti sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai golongan belia dan penduduk setempat tampil menyertai pasukan Bomba Komuniti bagi memperkukuh daya tahan komuniti serta menjadikan Telok Renjuna sebagai contoh masyarakat yang sentiasa bersedia menghadapi bencana dan kecemasan.
Sumber: inforakyat.kelantan.my

