KelantanNegeri

YIK, Universiti Dongyang Mirae buka laluan diploma kejuruteraan kepada pelajar Kelantan

 


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB TMB dan FB Dato’ Wan Roslan

KOTA DARULNAIM, 12 Julai — Yayasan Islam Kelantan (YIK) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Dongyang Mirae (DMU) Republik Korea bagi membuka laluan pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal bertaraf antarabangsa kepada pelajar Kelantan bermula September ini.

MoU tersebut ditandatangani Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hassan yang mewakili YIK manakala DMU diwakili Presidennya Kim Kyo II.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata kerjasama strategik itu menjadi satu lagi langkah penting kerajaan negeri dalam memperluaskan akses pendidikan antarabangsa serta melahirkan tenaga mahir berdaya saing di peringkat global.

Menurutnya, sebanyak sepuluh pelajar Kelantan akan mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal di DMU sebagai kumpulan perintis di bawah kerjasama tersebut.

“DMU juga menyediakan kemudahan penginapan secara percuma khusus kepada pelajar Kelantan.

“Bagi membantu pembiayaan pengajian, Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) turut menawarkan kemudahan pinjaman boleh ubah kepada pelajar yang terbabit.

“Semoga kemudahan ini dapat meringankan beban pelajar dan keluarga sekali gus memberi ruang kepada mereka untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian,” katanya di media sosial, pada Khamis.

Beliau berkata DMU bukan sahaja menekankan aspek teori, malah memberi keutamaan kepada latihan praktikal, penguasaan kemahiran dan pendedahan secara langsung kepada keperluan industri.

Katanya, pendekatan berteraskan pendidikan teknikal dan latihan industri itu selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan modal insan yang memiliki ilmu, kemahiran serta kebolehpasaran tinggi.

Dalam rangka lawatan tersebut, delegasi YIK turut dibawa meninjau kemudahan pembelajaran, bengkel latihan serta rumah penginapan yang disediakan kepada pelajar Kelantan bagi memastikan persekitaran pengajian yang kondusif.

Pada masa sama, Dato’ Wan Roslan merakamkan penghargaan kepada Persatuan Alumni Graduan Institusi Korea Kebangsaan (AGIKO) atas peranan penting dalam merealisasikan kerjasama berkenaan.

Tambahnya, inisiatif, jaringan serta komitmen AGIKO berjaya mempertemukan kedua-dua institusi sehingga membuka peluang baharu kepada pelajar Kelantan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Republik Korea.

Beliau juga berharap kerjasama tersebut menjadi pemangkin kepada hubungan pendidikan yang lebih kukuh antara Kelantan dan Republik Korea, di samping membuka lebih banyak peluang pengajian serta latihan kemahiran bertaraf antarabangsa kepada generasi muda negeri ini.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️