KelantanNegeri

Politik ialah maraton bukan pecutan, anak muda perlu fahami sistem negara – YB Nik Bahrum

 


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media YB Nik Bahrum

PENGKALAN CHEPA, 12 Julai – Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah menegaskan bahawa politik merupakan satu perjalanan jangka panjang yang menuntut kesabaran, prinsip dan istiqamah, bukannya sekadar mengejar populariti atau kejayaan dalam tempoh singkat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pesanan kepada peserta dalam pertemuan bersama Beliawanis DUN Chempaka di Volt Coffee, di sini, semalam.

Menurutnya, sesiapa yang bercita-cita menceburi dunia politik perlu melihat perjuangan itu sebagai satu maraton yang memerlukan daya tahan, bukannya larian pecut yang hanya mementingkan permulaan.

“Politik ialah maraton. Perjalanan politik tidak diukur pada siapa yang paling laju bermula, tetapi pada siapa yang mampu bertahan, memegang prinsip dan terus berkhidmat apabila sorakan sudah semakin perlahan,” katanya di laman rasmi, hari ini.

Beliau berkongsi pengalaman, ramai individu memasuki dunia politik dengan semangat tinggi, namun tidak mampu bertahan kerana terlalu mengejar jawatan sehingga mengabaikan prinsip perjuangan.

Jelasnya, perubahan yang sebenar tidak berlaku dalam sekelip mata sebaliknya dibina secara berperingkat melalui ilmu, pengalaman, kesabaran dan istiqamah.

Dalam pada itu, YB Nik Bahrum turut menggesa golongan muda agar tidak meminggirkan politik meskipun tidak bercita-cita menjadi wakil rakyat kerana setiap dasar yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat lahir daripada keputusan politik.

Beliau menjelaskan, dasar pendidikan, pengurusan kewangan negara, pembinaan hospital, jalan raya dan pelbagai kemudahan awam ditentukan melalui proses pentadbiran dan penggubalan dasar oleh kerajaan.

“Negara ini tidak kekurangan anak muda yang bersemangat. Yang masih kurang ialah anak muda yang memahami sistem. Semangat tanpa ilmu mudah diperalatkan, manakala ilmu tanpa semangat pula jarang membawa perubahan,” jelasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan rakyat memahami pembahagian kuasa antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman, selain peranan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan setiap isu disalurkan kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa.

Sebagai contoh, beliau berkongsi pengalaman menerima aduan daripada peniaga pasar berhubung Cukai Perkhidmatan (SST), namun menjelaskan bahawa perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan diputuskan melalui proses di Parlimen.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Exco Kerajaan Negeri Kelantan berpandangan bahawa pendidikan sivik dan kefahaman mengenai sistem pemerintahan perlu terus diperkasakan agar masyarakat, khususnya generasi muda mampu menjadi warganegara yang lebih berpengetahuan serta berupaya menyumbang kepada pembangunan negara secara berkesan.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️