Ambil Wang Dana Remaja Di Pejabat Daerah
Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN – Anak-anak remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang yang belum mengambil wang Dana Remaja, boleh terus berurusan dengan hadir ke Pejabat Daerah Dungun.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Cikgu Alias Harun berkata, mereka yang berkenaan diminta hadir pada 16 atau 27 Ogos ini.
“ada anak remaja kita yang pergi belajar mungkin tak sempat nak ambil…..baru-baru ni kita buat (agih pada) majlis dua minggu lepas, kita hantar maklumat kepada remaja-remaja yang menerima tetapi masih ramai lagi yang tidak menerima,
“Mungkin mereka berada di luar dan sebagainya. Jadi pada dua tarikh yang dekat ni, 16 Ogos hari Khamis jam 10 hingga 3 petang di Pejabat Daerah (atau) pada 27 Ogos hari Isnin,” ujarnya.
Kata beliau, sekiranya mereka berhalangan, boleh meminta ahli waris atau pun wakil mengambil borang dan meminta Penghulu menandatangani untuk tujuan pengesahan.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Tok Kah selepas solat jumaat di Masjid Tok Kah di sini pada 3 Ogos.
Sehubungan itu, beliau yang juga ADUN Rantau Abang menyeru masyarakat bersatu hati menyokong usaha kerajaan melaksanakan syariat Islam.
Katanya, orang-orang Melayu Islam adalah waris yang akan meneruskan perjuangan para nabi, meninggikan agama Allah.
“Kitalah yang mewarisi dengan agama islam ini, dan (tetapi) jangan jadi sebagai Islam waris saja….,
“Siapa lagi yang nak memperjuang kalau tidak kita orang Melayu yang beragama Islam,” tegas beliau.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Dungun itu bimbang, kerana katanya, Islam makin hari semakin ditindas.
“terutama sekali bila berlaku perubahan pemerintahan negara sekarang ni….(rakyat jadi) takut dan cemas ni,
“Jadi sama-samalah kita tautkan silaturrahim kita supaya kita bersama-sama menegakkan syiar Allah,” tambah beliau.