Kelulusan RTB Setiu Sebelum PRU14 Dibekukan
Oleh: Suhaimi Taib
Kuala Terengganu – Semua kelulusan tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Daerah Setiu sebelum Pilihanraya Umum (PRU) ke 14 baru-baru ini dibekukan untuk dibuat permutihan semula.
Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata pemutihan itu perlu bagi memastikan pemohon berkelayakan sahaja diluluskan permohonan mereka tanpa mengira latarbelakang dan penglibatan mereka dengan politik.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah subuh di Hotel The Regency Waterfront, Kuala Ibai di sini pada 4 Ogos.
Beliau mengisi Slot Kuliah Subuh sempena Kem Jati Diri J3K Daerah Kemaman di Hotel berkenaan di hari yang sama.
Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN), telah meluluskan banyak permohonan tanah RTB di daerah tersebut, sebelum PRU 14 namun ia perlu dibuat pemutihan semula kerana difahamkan berlaku pertindihan kepentingan pihak tertentu dalam permohonan tersebut.
“Permohonan itu termasuk tanah lot perumahan dan pertanian. Saya tak pasti jumlah keseluruhan permohonan tanah tersebut, ” ujarnya.
Menurut beliau, pemutihan itu juga dibuat ke atas permohonan RTB Daerah Setiu dalam tahun 1999 hingga 2004.
“Ini menunjukkan bahawa kerajaan Terengganu yang baharu mahu memastikan permohonan tanah diluluskan secara telus, tanpa niat membalas dendam kepada mana-mana pihak, ” jelasnya.
Katanya, semua pihak berpuashati dengan Kerajaan Negeri hari ini, kerana mentadbir penuh berhemah bagi memastikan Terengganu maju, berkat dan sejahtera.
“Rakyat Terengganu dilayan sama rata tanpa mengira parti politik dan kerajaan akan pastikan yang berhak sahaja mendapatkan tanah yang dipohon, ” ujarnya lagi.