Hanafiah Ikrar Kekalkan Chukai
KEMAMAN: PAS Kawasan Kemaman dan Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai, berikrar akan mengekalkan kemenangan PAS di N31 Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai.
Calon PAS DUN Chukai, Hanafiah Mat menegaskan, kemenangan Dun Chukai mesti dipertahankan bagi membantu PAS Terengganu menguasai Wisma Darul Iman.
Katanya, DUN Chukai menjadi rebutan parti-parti yang bertanding seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, ini.
“Insya’Allah, kami (PAS) di peringkat Kemaman dan MTD (Chukai) akan ‘bermatian’ mempertahankan kemenangan parti di Dun Chukai ini yang diperolehi pada PRU13 lalu.
“Saya sekali lagi diamanahkan oleh parti (PAS) untuk bertanding di Dun Chukai ini, bagi membantu PAS Terengganu memerintah negeri dan kembali ke Wisma Darul Iman,” ujarnya ketika ditemui semalam
Beliau yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai bagi penggal lalu, sekali lagi dicalonkan bertanding pada PRU14 ini di kerusi yang sama seperti PRU13.
Menurutnya, keyakinan peluang menang itu tetap ada meskipun berlaku pertandingan tiga, empat penjuru kerana mandat rakyat.
Katanya, Dun Chukai juga mempunyai ramai pengundi Cina yang mutakhir ini menyatakan sokongan secara peribadi kepada calon PAS yang bertanding.
Pada PRU13 lalu, Dun Chukai ini dimenangi oleh PAS, Hanafiah Mat yag mendapat 12,457 undi mengalahkan calon BN, Dato’ Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (10,011) undi dengan kelebihan majoritinya 2,446 undi.