NegeriTerengganu

Kerajaan Digesa Cakna Hutang

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu hari ini ditegur agar lebih cakna kepada jumlah hutang, walaupun sering mendabik dada dengan pendapatan yang kononnya tinggi tetapi tidak menekankan pembayaran hutang.

Dengan jumlah hutang yang hampir mencapai RM1 billion, ianya bukanlah suatu perkara yang patut dibanggakan, apatah lagi dengan belanjawan yang melebihi RM2 billion setahun itu, kelihatan tidak seimbang.

Teguran ini dibuat oleh Wakil Bukit Payong Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika selesai hari pertama Sidang Dun Terengganu bagi Penggal Kelima di Wisma Darul Iman semalam.

Beliau bangun bagi mengemukakan soalan tambahan kepada soalan asal oleh Wakil Rhu Rendang, Dato; Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang bertanyakan berkenaan langkah-langkah kerajaan Negeri dalam menangani defisit Bajet 2017.

“Pada pandangan saya, kerajaan Terengganu seharusnya serius dalam menangani hutang, berserta faedah itu kerana ia melibatkan riba.

“Paling terkesan ialah kerana ini, nyata menggunakan wang rakyat Terengganu dan dibimbangi secara tidak langsung mengheret sama rakyat ke kancah riba.

“Sebagaimana kerajaan Terengganu (PAS) pada tahun 1999 – 2004 dahulu yang sangat komited membayar hutang kepada pusat, disamping berusaha dengan bersungguh-sungguh mengeluarkan rakyat dari riba.

“Sehinggakan walau dengan sumber yang sangat terhad dan disekat, kerajaan ketika itu berjaya mengurangkan hutang, disamping menyediakan pinjaman tanpa riba kepada kakitangan mereka,” kata beliau.

Ustaz Mohd Nor juga membidas jawapan Menteri Besar yang kerap mengulangi bayaran balik kerajaan pusat atas hutang mereka terhadap negeri sebanyak RM1.85 billion bagi pembinaan LPT2 dahulu, sedangkan ianya tidak sepatutnya berlaku.

Dengan jumlah sebanyak RM1.85 billion itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan Negeri seharusnya sudah berjaya membayar balik hutang kepada Pusat kerana LPT2 sepatutnya dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Pusat.

“Saya melihat hal ini dengan rumusan yang sangat praktikal iaitu, jika kerajaan Negeri membayar secara berkala segala hutang ini contohnya sebanyak RM70 juta setahun bermula tahun 2004.

“Maka keseluruhan hutang negeri sudah boleh dilunaskan pada hari ini. Ini dengan jangkaan hutang tahun 2004 itu sama banyak seperti sekarang.

“Kita boleh menyebutkan begini kerana kerajaan Terengganu banyak duit, seharusnya boleh dilangsaikan dan tak perlulah dibanding dengan negeri-negeri lain yang kurang mampu.

“Tetapi hutang yang tinggalkan oleh kerajaan Negeri ketika itu (2004) hanya sedikit, yang kemudiannya ditimbun kembali oleh parti Umno yang menggantikan kerajaan Negeri selepas itu,” jelas beliau.

Sidang Dun yang dijadualkan berlangsung selama empat hari, akan berakhir Khamis ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️