KelantanNegeri

Anak Kelantan cipta sejarah, Aliff Rakib rangkul gelaran juara dunia ONE Championship

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 26 Julai – Anak jati Kelantan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib atau lebih dikenali sebagai Aliff Rakib, 22, mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama merangkul gelaran Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship selepas menewaskan jaguh Thailand Sam-A Gaiyanghadao dalam pertarungan di Stadium Lumpinee, Bangkok pada 25 Julai.

Kemenangan tersebut sekali gus melakar detik bersejarah buat sukan tempur negara apabila Alif Rakib berjaya menewaskan bekas juara dunia ONE Championship dari Thailand itu menerusi aksi penuh bersemangat di pentas antarabangsa.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, kejayaan bersejarah itu merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan buat seluruh rakyat negeri ini dan Malaysia.

Beliau menzahirkan rasa syukur serta mengucapkan tahniah kepada Alif Rakib atas kejayaan membanggakan tersebut.

“Alhamdulillah, tahniah kepada Alif Rakib atas kejayaan mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama merangkul gelaran Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok.

“Satu pencapaian yang cukup membanggakan buat Kelantan dan seluruh Malaysia,” katanya di laman rasmi, semalam.

Beliau berkata, kejayaan yang dilakar Alif Rakib membuktikan anak-anak Kelantan mempunyai potensi besar untuk bersaing di pentas dunia sekiranya disertai dengan kesungguhan, disiplin dan semangat juang yang tinggi.

Menurutnya, kejayaan itu menjadi kebanggaan dunia sukan tanah air dan diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai generasi muda untuk menceburi bidang sukan serta berusaha mengharumkan nama negeri dan negara di peringkat antarabangsa.

Menteri Besar Kelantan turut mendoakan agar Alif Rakib terus dikurniakan kesihatan, kekuatan dan kejayaan dalam meneruskan karier sebagai atlet profesional, sekali gus mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️