NegeriTerengganu

‘Konsep Terbuka’ Pelbagai Menu Untuk Sarapan

KUALA TERENGGANU – Pertambahan kedai makan di daerah ini yang memberi pelbagai pilihan lokasi kepada pengguna untuk menikmati selera tidak pernah sesekali mengetepikan kewujudan Saf Zaman Cafe yang terletak di Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, di sini.

Menyediakan pelbagai menu khususnya pada waktu pagi, Saf Zaman Cafe yang dibuka sejak 11 tahun lalu menjadi salah satu lokasi pilihan penggemar makanan terutama yang gemar bersarapan dengan pilihan makanan dan kuih-muih Terengganu.

Pemilik Saf Zaman Cafe, Saudah Muda, 66, berkata, sejak dibuka pada 2004 sehingga sekarang, kafe miliknya sentiasa menerima pelanggan dari pelbagai latar belakang terutama kakitangan awam dan sentiasa menjadi pilihan sehingga ke hari ini apabila turut mempunyai pelanggan tetap.

“Kita buat pelbagai menu yang berlainan sebagai contoh hari ini kita buat nasi minyak, esok nasi goreng dan lusa nasi kuning. Kita juga turut menyediakan makanan tambahan lain dan kuih-muih.

“Walaupun lebih kepada makanan pagi, kafe ini dibuka dari jam 8 pagi sehingga 5 petang. Pada waktu petang, kita sediakan makanan seperti roti bakar, pau dan lain-lain,” katanya ketika ditemui di sini.

Paling istimewa, bagi mereka yang tidak gemarkan ajinomoto, Saf Zaman Cafe adalah lokasi singgah makan yang tepat kerana Saudah memberitahu penyajian makanan di kedai itu tidak sesekali menggunakan perasa tersebut ataupun bahan perisa lain.

Turut dibantu anaknya, Azmi, 32, dan mempunyai empat pekerja, Saudah memberitahu sangat mementingkan kebersihan, bukan hanya dari sudut fizikal kedai, malah kebersihan makanan dan disebabkan itu, beliau dilihat berani menonjolkan ruangan penting iaitu dapur yang menjadi tempat menyajikan makanan dan minuman dengan konsep terbuka yang tidak memisahkan ruangan tersebut dengan tempat duduk pelanggan.

Konsep terbuka di ruang dapur itu dilihat turut menjadi trend beberapa cafe yang baharu dibuka di negeri ini.

Sementara itu anaknya, Azmi ketika mencelah mengenai perancangan masa depan Saf Zaman Cafe, beliau berharap kafe itu mampu menyediakan makan tengah hari pada masa akan datang.

Buat masa ini katanya, terdapat beberapa kekangan dan perancangan itu juga akan dimulakan setelah segala-galanya telah cukup persiapan rapi dalam memastikan operasi tersebut berjalan lancar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️