NegeriTerengganu

Tidak Ada Pengasingan Konsep Dalam PAS – Ustaz Abdul Hadi

KUALA SELANGOR – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menafikan berlakunya pengasingan konsep parti dalam PAS seperti yang dilabelkan pihak luar.

Ini kerana, katanya sejarah penubuhan PAS dari awal lagi turut melibatkan semua pihak terdiri dari kalangan ulama’, tokoh ilmuan dan profesional.

“Konsep PAS ialah tidak ada pemisahan di antara agama, politik,ekonomi dan sebagainya. Bahkan, (sejarah) penubuhan PAS sendiri melibatkan semua kalangan dan bukan sahaja kalangan ulama’ tetapi juga kalangan (tokoh) ilmuan.

“Di antara seawal-awal pemimpin PAS bukan sahaja Ahmad Fuad, Dr Burhanuddin Hilmi (Ulama’) termasuk Profesor Ahmad Ibrahim (yang) semua orang kenal.

“Dr Haji Abas Alias (profesional) termasuk Profesor Ungku Omar tokoh ilmuan negara yang terkenal, termasuk juga Dato’ Abu Samah iaitu SUK negeri Pahang dan ramai lagi.

“Mereka ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Bahkan, semasa peralihan kuasa pimpinan (PAS) bila Haji Ahmad Fuad (pengasas) meninggalkan parti (PAS) dan masuk parti negara. Dr Haji Abas Alias menjadi ketua parti (Yang Dipertua PAS) yang kedua. Dengan sebab itu, tidak ada pemisahan dari segi aspek konsep,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Ucapan Dasar 2015, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61, di Stadium Tertutup Kuala Selangor, dekat sini, hari ini.

Namun, kata Ustaz Abdul Hadi, apa yang dibimbanginya pemikiran rakyat yang terpengaruh dengan sekularisma, memisahkan agama dengan urusan cara hidup.

“Ini (ideologi) yang membelenggu pemikiran yang perlu kita perbetulkan. (maka) sudah tentulah PAS yang didatangi dengan pelbagai golongan dan bukan sahaja dari kalangan kumpulan-kumpulan Islam yang terhad kefahaman mereka termasuklah yang ada pemikiran barat, yang pendidikan agama yang terhad semuanya ada, dengan sebab itu menjadi tanggungjawab kita (PAS) mengolah perkara ini supaya mereka faham,” ujarnya.

Menjawab persoalan media mengenai golongan ulama’ lebih ramai dari kumpulan progresif dalam PAS, mungkin ini akan mendatang cabaran kepada PAS untuk mendekati kumpulan non-muslim (bukan Islam) dalam pilihan raya akan datang.

Dato’ Seri Abdul Hadi dengan nada sinis menyifatkan isu tersebut timbul hanya pada setiap kali berlakunya pemilihan parti di muktamar PAS.

Katanya, selepas selesai berlaku pemilihan parti itu situasi akan kembali pulih seperti sedia kala.

“Setiap kali perhimpunan (Muktamar) PAS akan timbul isu seumpama ini. Selepas muktamar selesai dan bila berlaku pemilihan kamu (media) akan dapat melihat sendiri (kesan) pemilihannya terdiri dari semua kalangan (dewan).

“Bahkan, apa yang menarik dengan pemilihan Dewan Pemuda dan Muslimat PAS. (Ia) bukan sahaja kalangan ilmuan Islam juga kalangan ilmuan Sains dan Teknologi. (Dan) ianya macam sahamlah ada naik turun dan bermusim.

https://youtu.be/7AMsU5suoG0

“Ini semua memerlukan isu-isu terkini yang kita (PAS) kena hadapi. Manakala, isu terkini itu kita (PAS) memerlukan kepada kumpulan yang mampu menangani isu-isu semasa,” jelasnya.

Menurutnya, kejayaan PAS masa kini telah berjaya memecahkan tembok pemisahan di kalangan bukan Islam.

“Apa yang kita bangga ialah kejayaan kita (PAS) memecahkan tembok yang memisahkan kita bukan sahaja di antara (golongan) pendidikan Islam dan pendidikan barat yang menyertai PAS, termasuklah di kalangan bukan Islam.

“(yang) Begitu berjaya hingga menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menerima konsep politik, konsep ekonomi Islam dan mereka terima tanpa mereka masuk Islam.

“Itu (DHPP) suatu perkara yang sangat menarik yang kita (PAS) berjaya mencapai kejayaan,” ujarnya.Selepas itu, Dato’ Seri Abdul Hadi turut melakukan gimik pelancaran perasmian muktamar dengan disaksikan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali dan Pengarah Panitia Muktamar PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan.

Muktamar Tahunan PAS kali ini mengangkat tema “Beristiqamah Hingga Kemenangan” agar tetap berada di atas dasar, amalan dan perjuangan Islam.

Kemeriahan Muktamar PAS kali ini diserikan dengan kehadiran oleh beberapa orang wakil dari kedutaan asing antaranya wakil negara Britain, Jerman, Jepun, Australia, Singapura, Amerika Syarikat, Iran, Turki dan lain-lain.

Hadir sama pemimpin Pakatan Rakyat iaitu Timbalan Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR) yang juga Menteri Besar Selangor, Azmin Ali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️