Pulau Burung Tasik Kenyir Tidak Terurus, Terbiar
HULU TERENGGANU – Walaupun Pulau Burung di Tasik Kenyir sudah lama disiapkan, kira-kira sejak tiga tahun yang lalu, namun ia tidak seindah yang dikhabarkan, samada dalam berita yang dipaparkan, atau di laman sesawang kerajaan negeri Terengganu.
“Taman Burung ini telah lama di siapkan……..saya mari ni dah yang ketiga kali, cuma yang adanya (di sini) pintu pagar terkunci, tidak ada orang (men)jaga, pelancong masih tidak boleh melancong,
“apa yang (saya) dapat lihat dari luar ini hanya sepasang burung merak sahaja……dan tidak ada burung-burung lain,”kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr Alias Razak.
https://youtu.be/7WZVChBhgKQ
Bahkan, kata beliau ketika melawat Pulau itu pada Ahad 10 Mei, dalam kawasan pemeliharaan burung di Taman itu, dibina pula sebuah ‘menara’ dan pencawang bekalan elektrik berkuasa tinggi, yang membahayakan kepada para pelancong.
“ia juga akan menganggu kehidupan burung-burung dalam Taman Burung ini……….kita juga tak faham, apa matlamat dan visi (pembinaan) Taman Burung ini,”tambah beliau.
Beliau menggesa pemimpin kerajan negeri agar turun dan melihat sendiri pembangunan yang dilakukan di Tasik Kenyir dan memberi ingatan agar tidak membazirkan wang rakyat.
Beliau memaklumkan, kos pembangunan Pulau Burung itu telah menelan belanja lebih daripada RM6 juta.
“saya harap (projek ini) dikaji (semula)……..kita nak menarik pelancong memang satu usaha yang baik, tetapi kalau inilah cara yang dilaksanakan,
“ia tidak akan ke mana dan akan membazirkan duit rakyat,”jelas beliau.
Menurutnya, kesemuanya burung, itik dan angsa berjumlah 101 ekor telah dibeli oleh kerajaan dengan harga RM223, 750 pada tahun 2011, tidak kelihatan langsung, walau seekor pun.
Jawapan bertulis yang diberikan oleh kerajaan negeri dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada tahun 2011 kepada beliau, kerajaan negeri telah membeli burung ‘eksotik’ yang mahal.
Antaranya adalah ‘Whooper Swan’ dibeli dengan harga RM5600 seekor, ‘Red Brested Goose’ dibeli dengan harga RM4,200 seekor, ‘White Swan’ dengan RM3,800 seekor, ‘Black Swan’ RM3,800 seekor dan ‘Ashy Headed Goose’ dibeli dengan harga RM3,800 seekor.
Dr Alias yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Terengganu juga sebelum ini, telah acap kali menimbulkan persoalan dan memberi peringatan kepada pihak kerajaan perlaksanaan projek-projek pembangunan Tasik Kenyir yang menelan belanja lebih RM300 juta.
Menurut catatan pada buku Jawapan Kepada Soalan Bertulis, Mesyuarat Yang Ketiga, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Ke 12, pada 21 hingga 23 Disember 2011, sebelas projek disenaraikan bagi pembangunan baru Tasek Kenyir.