Terengganu Negeri Kaya Masih Ketinggalan
KUALA TERENGGANU – Wakil-wakil rakyat PAS menyokong titah ucapan Tuanku Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang menyentuh elemen penting dalam proses pembangunan negeri iaitu dengan mewujudkan jaringan pengangkutan awam yang berkesan, cekap dan sistematik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata sepatutnya Terengganu mempunyai infrastruktur pengangkutan awam yang lebih terkehadapan berbanding negeri-negeri lain.
Ini kerana, katanya negeri Terengganu mempunyai sumber hasil royalti minyak dan gas yang banyak sejak lebih 30 tahun lalu.
Menurutnya, Terengganu mempunyai sumber pendapatan tahunan melebihi RM2 bilion setahun tetapi masih ‘ketinggalan’ di belakang.
“Terengganu yang mempunyai sumber kewangan lebih dari RM2 bilion setahun, infrastrukturnya patut lebih terkehadapan lagi. Contohnya, yang kita hadapi hari ini kesesakkan lalu lintas.
“Sepatutnya, kerajaan telah boleh menjangkakan perkara ini untuk persiapan 10 hingga 20 tahun, bahawa berlaku kesesakkan lalu lintas.
“Jika di pantai barat (Kuala Lumpur) orang telah bercakap soal komuter, LRT dan sebagainya. Maka, Terengganu dengan kewangan yang diperolehi juga telah mampu menyediakan perkhidmatan awam yang lebih baik dan sempurna.
“Kita (rakyat) di Terengganu masih menghadapi kesukaran pengangkutan awam, perkhidmatan bas dan sebagainya. Kita masih ketinggalan jika dibanding dengan kawasan di luar bandar.
“Di Dungun, seperti (kawasan) Bukit Besi pun masih tidak ada pengangkutan untuk ke bandar Dungun,” jelasnya.
https://youtu.be/TGbl18B8o1E
Beliau berkata demikian ketika ditemui di lobi U2, Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Wisma Darul Iman selepas majlis perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga, Sidang Dun Terengganu Ke-13, dekat sini, 11 Mei lalu.
Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Permaisuri Terengganu, Sultanah Nur Zahirah hadir merasmikan pembukaan sidang Dun tersebut.
Ustaz Satiful yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu menyifatkan keseimbangan pembangunan di negeri ini tidak selancar di negeri lain.
Ini katanya, berbanding dengan negeri Melaka yang kecil tanpa sumber asli yang banyak tetapi dari segi infrastrukturnya lebih baik dari Terengganu.
“Terengganu pada peringkat awal negeri miskin setelah mendapat hasil royalti (minyak) Terengganu mendapat sumber pendapatan secara drastik.
“Keseimbangan pembangunan di negeri ini tidak selancar pembangunan di negeri-negeri lain. Kita bandingkan dengan negeri Melaka umpamanya, walau pun dia (Melaka) tidak ada sumber kewangan tetapi kita nampak dari segi infrastrukturnya baik, begitu juga dengan negeri Kelantan,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh isu ‘kebanjiran’ pekerja asing di negeri ini hingga mencecah 80 peratus dalam industri oil dan gas di Paka dan Kertih.
“Begitu juga dengan peluang pekerjaan. Saya cukup terkilanlah sebab saya duduk di kawasan ‘oil and gas’ (Paka) tetapi masih ada lagi isu pengambilan pekerja asing yang ramai.
“Saya dapat maklumat, 80 peratus pekerjanya terdiri warga asing dan apabila kita (PAS) bising barulah nak ada tindakan. Sepatutnya, kerajaan lebih pekalah dengan penggunaan tenaga pekerja orang tempatan,” tegasnya.
Persidangan Dun Terengganu kali ini akan bersidang selama empat hari bermula 11 hingga 14 Mei 2015, bagi penggal ketiga ini.