Aktivis Media Muslimat Kumpul ‘Cokelat’ Untuk Redakan Trauma Anak Nepal
KUALA TERENGGANU – Menurut UNICEF kira-kira 1.7 juta orang kanak-kanak negara Nepal mengalami trauma dan memerlukan bantuan akibat dilanda gempa bumi yang berlaku pada 26 April lalu.
Lebih daripada 27 juta warga Nepal kini bergelut untuk mengembalikan kehidupan mereka kepada keadaan ‘normal’ selepas beribu-ribu sanak saudara mereka yang terkorban dan cedera dalam bencana itu.
Bertindak dari rasa kemanusiaan aktivis media muslimat negeri Terengganu telah melancarkan ‘Tabung Coklat dan Biskut’ untuk meredakan sedikit kesedihan anak anak kecil yang kehilangan rumah dan tempat bergantung.
Wakil Muslimat Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu Puan Azizah Mahmood menyeru orang ramai yang prihatin menghulurkan sedikit ‘senyuman’ kepada anak-anak Nepal.
“In sha Allah…..dengan sedikit sumbangan yang kami akan kumpulkan dari orang ramai yang prihatin ini…..akan memberikan ‘senyuman’ kepada anak-anak Nepal,
“melegakan kesedihan dan igauan hitam yang mereka lalui akibat gempa bumi itu,”katanya ketika dihubungi.
Melihat anak anak ini berwajah sayu, kata beliau, apalah salahnya kita menghulur sedikit sumbangan dan mudah-mudahan sumbangan yang sedikit mampu mengukir wajah ceria kepada anak-anak itu.
Menurutnya, sumbangan tersebut akan dikirim melalui delegasi kedua Misi Kemanusiaan ke Nepal dengan 14 anggota sukarelawan, yang akan berlepas pada Khamis 14 Mei.
Wakil KAMI Sazali Mohd Noor akan bersama delegasi kedua tersebut, bagi membuat liputan dan pemerhatian.
Pada ketika ini, delegasi pertama dari wakil-wakil NGO diketuai oleh Presiden Yayasan Amal Malaysia (YAM) sedang berada di bumi Nepal bagi memberikan bantuan awal dan meninjau keperluan yang perlu dihantar selanjutnya.
Mereka yang berlepas pada 6 Mei lalui, turut disertai oleh wakil Yayasan Amal Cawangan Terengganu Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.
Dalam catatan beliau di hari ke empat, Sabtu 9 Mei, beliau memberitahu, delegasi menziarah mangsa di Kampung Sanghachowk dalam daerah Sindhupalchok, Nepal.
“Hari ini kami memulakan misi pada jam 11:00 am. Dengan di temani oleh Sdr Nur Muhammad An-Nadawi dan Sdr Mujahidul Islam kami menuju ke Sanghachowk dalam daerah Sindhupalchok, kawasan pergunungan yang mencatatkan kematian paling ramai.
“Seramai 3,035 orang telah mati dalam peristiwa gempa bumi di daerah Sindhupalchok ini. Hampir keseluruhan rumah mangsa hancur musnah. Mangsa yang telibat di sini adalah daripada masyarakat Hindu,”ujarnya melalui mesej yang dihantar.
Sehubungan itu, Ahi Jawatakuasa Yayasan Amal Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata, Misi Kemanusiaan Kali Ketiga akan bertolak ke Nepal pada Khamis 21 Mei.
“kita akan membawa ubat-ubatan dan akan membawa sumbangan orang ramai yang telah memberikan amanah,
“untuk membeli khemah-khemah bagi menjadi kediaman sementara mangsa gempa bumi,”ujarnya yang juga akan turut serta dalam misi terbabit.
Kepada mana-mana warga Malaysia yang berhasrat untuk menyumbang ‘biskut, cokelat dan gula-gula’ untuk anak-anak Nepal, boleh terus menghubungi Puan Azizah Mahmood di talian 016-921 4146
Yang mahu menyumbang untuk khemah boleh menghubungi pihak Yayasan Amal Terengganu sebagaimana yang tertera dalam iklan dibawah.