NegeriTerengganu

Pemimpin Utama Muslimat Terengganu Kekal

KUALA TERENGGANU – Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu Puan Safinah Jusoh, kekal menerajui kepimpinan ‘sayap wanita’ PAS itu untuk sesi 2015-2017.

Beliau mempertahankan jawatan tersebut setelah dipilih semula pada Muktamar Kali Ke-42, Dewan tersebut yang bersidang pada Sabtu lalu.

Selain beliau, pasukan kerja kepimpinan Muslimat Terengganu pada sesi lalu turut mengekalkan kedudukan masing-masing apabila Timbalannya Puan Zarani Othman dan Naib Ketua, Raja Endun Raja Abdul Rahman dipilih bersama beliau.

Dalam pemilihan yang melibatkan 90 kehadiran perwakilan itu, seramai 10 orang berjaya menyandang jawatan ahli jawatankuasa (AJK) antaranya Maznah Muftahudin, Zuraida Md Noor, Rahimah Muda, Suhaimah Alias, Zaitun Abas, Rohani RamliFainah Mat, Zaitun Salleh, Nafisah Ismail dan Khairiah Mokti.

Dalam ucapan beliau kelmarin, Safinah menekankan sikap walak atau patuh ahli-ahli terhadap kepimpinan Pas di peringkat tertinggi parti.

Sikap walak menjadi salah satu isu yang berlegar dalam Pas sejak kebelakangan ini apabila segelintir pemimpin Pas peringkat Pusat dilihat lantang mengkritik kepimpinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Safinah berkata, kepimpinan PAS berteraskan kepada kepimpinan ulama yang merupakan sebuah gerakan yang melaksanakan tugas-tugas dakwah dan tarbiyah.

“Perlembagaan PAS meletakkan Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi dalam kepimpinan parti dan berperanan bagi memastikan dasar perjuangan Pas berada atas landasan sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Terengganu Kali Ke-42, di Markaz Tarbiyah Pas Kuala Terengganu, Kuala Ibai, di sini.

Hadir sama Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Dr Wahibah Tahir yang turut merasmikan majlis tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️