Home Minda Presiden

Mencemari Perjuangan Kemerdekaan

1031
SHARE


Minda Presiden PAS

MENCEMARI PERJUANGAN KEMERDEKAAN


Berita melaporkan diadakan upacara memperingati perjuangan komunis dan disenaraikan pula dalam perjuangan kemerdekaan menentang penjajah oleh kumpulan yang diketahui umum.

Tindakan tersebut sangat tidak menghormati perjuangan kemerdekaan yang sebenar oleh umat Islam di tanah air ini yang telah menentang penjajah sejak kedatangan Portugis menakluk Melaka pada tahun 1511M, sehinggalah kedatangan Belanda dan Inggeris. Perjuangannya melibatkan raja-raja, para ulama’, pemimpin dan rakyat jelata.

Perjuangan generasi awal itu menentang penjajah sejak mereka datang merompak kuasa pemerintahan Melayu Islam yang telah bertapak dan berdaulat di sini. Adapun komunis adalah perjuangan pendatang yang membawa ideologi asing yang diimport. Penciptanya adalah Karl Marx, makhluk yang tidak beragama dan tidak menghormati bangsa yang lebih buruk daripada penjajah barat yang beragama itu.

Maka cerita kebenaran membawa abu mayat Chin Peng tidak boleh dipandang hanya dari segi kemanusiaan dan keluarganya sahaja, tetapi perlu dilihat kepada perjuangan yang tidak beragama dan berperikemanusiaan yang tidak layak diberi penghormatan di negara ini.

Dari segi politik dan sejarahnya, fahaman Komunis dibawa oleh penjajah, kerana ciptaannya daripada negara penjajah, bukan daripada wilayah kita di Timur ini. Latar belakang sejarahnya daripada Yahudi Karl Marx, musuh Islam dan musuh semua agama serta bangsa bagi merosakkan kaum lain.

Asal usul Karl Marx bukan daripada negeri China dan India. Penjajah yang mengimport ideologinya datang ke sini sehingga menjadi racun yang merosakkan ajaran beragama, berperikemanusiaan dan berakhlak.

Sepatutnya kita faham kalau menyaksikan dengan nyata apabila penjajah barat meninggalkan tanah jajahannya dan bersedia untuk memberi kuasa kepada kalangan komunis selepas kemerdekaan merupakan penyelesaian yang meninggalkan masalah kepada negara yang merdeka. Hal ini pernah dilakukan terhadap negeri umat Islam di Asia Tengah di Yaman Selatan, Ethiopia dan lain-lain.

Kekejaman mereka terhadap negeri yang dikuasainya lebih dahsyat daripada penjajah barat, kerana mereka tidak beragama dan tidak berperikemanusiaan.

Beberapa tahun yang lalu disaksikan keruntuhan Soviet Union, negara paling besar wilayahnya diperintah oleh ideologi komunis, sehingga negara Eropah Timur, China, Cuba, Vietnam dan lain-lain meninggalkan ideologi komunis kerana ternyata merosakkan negara.

Adapun umat Islam paling menjadi mangsa kekejaman negara komunis di seluruh dunia. Oleh sebab itu, seluruh umat Islam menentang komunis di seluruh dunia, sehingga lebih keras daripada menentang penjajah lain dan menjadi keutamaan lebih daripada menentang penjajah kapitalis barat.

Tindakan mereka yang mengangkat martabat Chin Peng sebagai wira negara ini adalah fahaman paling salah dan sesat. Paling tidak menghormati para pahlawan yang berjuang menentang penjajah khususnya menentang komunis. Malah pemilihan tarikh 16 September yang amat signifikan dengan penubuhan Malaysia turut mengundang persoalan akan motif sebenar upacara tersebut.

Langkah menghormati tokoh komunis itu menandakan hati mereka masih cintakan fahaman yang haram bagi negara ini. Penghormatan yang diberi bukan sekadar nama peribadi jasadnya, tetapi kerana masih beriman kepada ideologinya.

Paling tidak munasabah apabila kita melihat negara yang menganut ideologi komunis telah meninggalkannya dalam lipatan sejarah yang hitam dengan kezaliman, tiba-tiba masih ada makhluk dalam negara ini menunjukkan kecintaan kepadanya.

Semua pihak mesti berwaspada terhadap penyakit ini sebelum menjadi barah yang sukar diatasi.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 30 Rabi’ul Awwal 1441 / 27 November 2019