Ibadah korban PAS Tawau manifestasi komitmen khidmat bakti kepada masyarakat
Oleh : Anna Tan
TAWAU β PAS Kawasan Tawau telah berjaya melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha sebagai manifestasi komitmen berterusan parti tersebut dalam berkhidmat serta mendekati masyarakat.

Program ibadah korban yang diadakan di Madrasah Darul Hidayah, Sungai Imam dimulakan dengan solat Subuh berjemaah sebelum diteruskan dengan laungan takbir Aidiladha oleh para jemaah dan petugas yang hadir.
Aktiviti tersebut menghimpunkan ratusan petugas yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan, Dewan Ulama, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat serta penduduk setempat, sekali gus mencerminkan kesiapsiagaan jentera PAS Tawau dalam melaksanakan tanggungjawab khidmat masyarakat.
Sambutan serta penyertaan masyarakat dalam program berkenaan turut memperlihatkan keyakinan orang ramai terhadap keupayaan PAS Kawasan Tawau dalam mengurus dan melaksanakan ibadah korban secara konsisten setiap tahun.
Pemangku Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tawau, Ustaz Rosli Hasan berkata, program tahunan tersebut menjadi bukti bahawa PAS sentiasa komited dalam menyantuni rakyat tanpa mengira keadaan dan waktu.

βMelalui pendekatan politik khidmat bakti seperti ini, kita berhasrat memastikan hubungan ukhuwah antara parti dan masyarakat terus diperkukuhkan,β katanya.
Menurut beliau, pendekatan turun padang tersebut berjaya memperkukuh budaya gotong-royong di samping memastikan agihan daging korban disampaikan secara terus kepada golongan yang memerlukan.
Sementara itu, Pengarah Program, Qaharudin Usman memaklumkan bahawa sebanyak lapan ekor lembu telah disembelih pada hari pertama Aidiladha di Sungai Imam, manakala seekor lagi disembelih pada hari kedua di Kampung Kongsi 10.