KOTA BHARU – Barisan Exco negeri yang baharu bakal diumumkan sebelum Ramadan ini setelah mendapat perkenan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Dr Muhammad Fa-Iz Petra.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya sudah menyediakan senarai nama pimpinan yang terpilih bagaimanapun bergantung kepada perkenan Istana.
“Kita akan umum sebelum Ramadan. InsyaALLAH,” katanya kepada media ditemui pada majlis kesyukuran meraikan kemenangan PAS di Dun Salor di sini.
Pesuruhjaya PAS itu bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada terdapatnya pengguguran Exco-Exco lama mahupun pertambahan kepimpinan baharu.
“Saya tidak boleh sebut. Tidak boleh mendahului Pemangku Raja dan yang PAStinya barisan kepimpinan ini akan membantu memantapkan ekonomi dan pentadbiran kerajaan kita,” katanya.
Sebelum ini Kerajaan Kelantan mempunyai 11 Exco yang diberikan tanggungjawab mempengerusikan portfolio masing-masing.
PAS masih kekal memerintah Kelantan sejak tahun 1990 setelah mendapat kemenangan besar pada PRU14 lalu.
Ahmad juga kekal sebagai Menteri Besar Kelantan dan memikul tugas tersebut untuk penggal kedua. SINAR HARIAN 12 MEI 2018
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/exco-baharu-sebelum-ramadan-1.833581