Home Artikel PAS Kelantan

Pengundi luar, anak muda bantu kemenangan PAS Kelantan

1,842 views
SHARE

KOTA BHARU – Pengundi luar dan sokongan anak muda di antara faktor utama PAS dapat bertahan di Kelantan pada PRU14.

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, itu membuktikan rakyat semakin sedar dengan perjuangan yang dibawa PAS terutamanya untuk terus mengekalkan pentadbiran berdasarkan ‘Membangun Bersama Islam’ yang telah dibawa sebelum ini.

“Kita ucapkan penghargaan kepada pengundi luar dan seluruh rakyat negeri ini kerana masih memberi kepercayaan dan mandat kepada kami untuk teruskan pentadbiran negeri ini.

“Malah kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada jentera parti yang banyak membantu sepanjang tempoh kempen dan selebihnya,” katanya semasa sidang media khas di sini, hari ini.

Beliau terdahulu hadir di Istana Kota Lama bagi mengangkat sumpah sebagai menteri besar selePAS PAS berjaya mempertahankan majoritinya di negeri ini selain menambah lima kerusi baharu.

Ahmad berkata, beliau optimis dengan keputusan dan prestasi PAS kali ini tambahan pula PAS mendapat majoriti lebih 5,000 melibatkan enam kerusi Dun.

Mengulas mengenai pelantikan Exco kerajaan negeri, beliau berkata, pihaknya kini hanya menunggu tarikh yang akan ditentukan Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

“Kita akan tunggu tarikh yang sesuai dalam masa terdekat ini untuk mendapat keizinan daripada baginda pemangku sultan. Insya-ALLAH, setelah mendapat keizinan, kita akan laksanakannya nanti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, ketika ditanya mengenai keputusan PRU yang menyaksikan Pakatan Harapan kalah ‘teruk’ di Kelantan, Timbalan Mursyidul Am PAS itu berkata, pihaknya sudah menjangkakan perkara tersebut memandangkan pendekatan dan perjuangan yang dibawa pakatan tersebut tidak sesuai dengan penyokong di negeri ini. SINAR HARIAN 10 MEI 2018

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/pengundi-luar-anak-muda-bantu-kemenangan-pas-kelantan-1.832867