POLITIK BOLEH BERBEZA, KEMANUSIAAN JANGAN TERPISAH: PAS WANGSA MAJU ZIARAH PIMPINAN WANITA UMNO

Oleh : Abdul Fateh
KUALA LUMPUR, 25 Ogos– Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Mohamed Daud, meneruskan usaha memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat kemasyarakatan apabila menziarahi Puan Hasimah binti Mohd Noor, Timbalan Ketua Wanita UMNO Bahagian Wangsa Maju, di kediamannya di Taman Melati, semalam.
Puan Hasimah kini sedang menjalani ujian kesihatan apabila menghidap penyakit kronik kanser payudara.
Ziarah tersebut turut disertai pimpinan Dewan Muslimat PAS Kawasan Wangsa Maju sebagai tanda keprihatinan serta sokongan moral kepada beliau dan keluarga dalam menghadapi ujian yang sedang dilalui.
Dalam suasana penuh ukhuwah, pertemuan tersebut menjadi medan untuk menyampaikan kata-kata semangat, doa dan sokongan agar Puan Hasimah terus diberikan kekuatan, kesabaran serta kesembuhan oleh Allah SWT.
Ustaz Abdul Mohamed Daud berkata, ziarah ini bukan sekadar kunjungan atas dasar hubungan politik, sebaliknya merupakan tuntutan Islam untuk saling mengambil berat, khususnya ketika seseorang saudara sedang diuji dengan kesakitan.
“Apabila seseorang sahabat, jiran atau kenalan sedang diuji dengan penyakit, kita sebagai umat Islam mempunyai tanggungjawab untuk hadir memberikan sokongan, doa dan semangat.”
“Perbezaan wadah politik tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kita menghulurkan kasih sayang dan menunjukkan keprihatinan. Dalam perkara kebajikan, kemanusiaan dan persaudaraan, kita boleh duduk bersama dan saling membantu.”
Beliau turut mendoakan agar Puan Hasimah dikurniakan kekuatan menghadapi rawatan serta dipermudahkan segala urusan.
“Saya bagi pihak PAS Kawasan Wangsa Maju dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Wangsa Maju mendoakan agar Puan Hasimah terus kuat dan tabah. Semoga Allah SWT mengangkat segala kesakitan, memberikan kesembuhan dan mengurniakan ketenangan kepada beliau serta seluruh keluarga.”
Menurut beliau, budaya ziarah-menziarahi dan saling menyantuni perlu terus diperkasakan dalam masyarakat kerana ia mampu membina jambatan persaudaraan serta mengukuhkan keharmonian dalam komuniti.
“Islam mengajar kita supaya sentiasa mengambil berat antara satu sama lain. Mudah-mudahan usaha kecil ini menjadi satu bentuk amal kebajikan dan membawa manfaat kepada semua,” katanya.
PAS Kawasan Wangsa Maju turut berharap agar masyarakat bersama-sama mendoakan kesembuhan Puan Hasimah serta memberikan sokongan moral kepada beliau dan keluarga sepanjang tempoh rawatan.
“Semoga Allah SWT memberikan kesembuhan yang sempurna, mengangkat segala kesakitan dan mengurniakan kekuatan kepada Puan Hasimah serta keluarga. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.”