Tiket mahal: Rakyat Sabah semakin terbeban

Oleh : Jamal Abdul
SEMPORNA: Dewan Pemuda PAS Kawasan Semporna menggesa pihak berautoriti mengambil tindakan lebih serius dan konkrit bagi memastikan harga tiket penerbangan Sabah–Semenanjung lebih munasabah serta mampu ditanggung rakyat.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Semporna, Safwan Mohammad berkata, pihaknya menyokong kenyataan Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah berhubung isu harga tiket penerbangan yang terus membebankan rakyat Sabah, khususnya ketika musim cuti dan perayaan.
Menurut beliau, penerbangan bukan lagi dianggap sebagai kemewahan bagi rakyat Sabah, sebaliknya satu keperluan bagi urusan pendidikan, pekerjaan, kesihatan, perniagaan dan keluarga.
“Beban ini lebih dirasai rakyat di kawasan pantai timur seperti Semporna, Kunak dan Lahad Datu yang perlu menanggung kos perjalanan ke Tawau terlebih dahulu sebelum meneruskan penerbangan ke Semenanjung.
“Belum dicampur lagi kos perjalanan darat, penginapan dan perbelanjaan lain. Dalam keadaan kos sara hidup di Sabah yang sudah tinggi, harga tiket yang mahal sememangnya cukup membebankan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, isu harga tiket yang tinggi turut berpotensi memberi kesan kepada sektor pelancongan Sabah apabila kos perjalanan yang mahal menyebabkan orang ramai mempertimbangkan semula destinasi percutian mereka.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja membebankan rakyat Sabah yang ingin keluar ke Semenanjung, malah boleh memberi kesan kepada kemasukan pelancong domestik ke Sabah dan seterusnya ekonomi negeri.
“Justeru, kami menggesa pihak berautoriti mengambil tindakan yang lebih serius dan konkrit bagi memastikan harga tiket Sabah–Semenanjung lebih munasabah dan mampu milik.
“Mekanisme penetapan harga yang lebih telus serta insentif atau subsidi bersasar kepada golongan yang memerlukan juga wajar dipertimbangkan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa isu harga tiket penerbangan bukan sekadar berkaitan kos perjalanan, tetapi menyentuh kehidupan dan kebajikan rakyat Sabah.
“Isu ini memerlukan tindakan segera daripada pihak berautoriti agar berlaku perubahan yang nyata. Jika terus dibiarkan tanpa penyelesaian, rakyat Sabah akan terus menanggung beban ini untuk tahun-tahun mendatang,” katanya.