Pemergian Che Man kehilangan besar buat dunia seni Kelantan – MB Kelantan
Foto: Media UKMB
KOTA DARULNAIM, 6 Ogos – Pemergian aktor anak Kelantan Allahyarham Kamarozaman Yusoff atau lebih dikenali sebagai Che Man, yang meninggal dunia petang semalam, disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat dunia seni tanah air, khususnya di Kelantan.
Demikian menurut
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nasuruddin Daud.
Katanya, Allahyarham dikenang sebagai anak seni yang berjaya menambat hati masyarakat menerusi lakonan bersahaja, penuh jiwa dan dekat dengan kehidupan seharian.
Beliau berkata, pagi ini beliau berkesempatan menziarahi Allahyarham serta menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga sebelum jenazah dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Merah.
“Pemergian Allahyarham pastinya meninggalkan ruang yang sukar diganti. Lakonannya yang bersahaja, penuh jiwa dan dekat dengan kehidupan masyarakat menjadikan beliau antara pelakon yang sentiasa dikenang.
“Malah, gaya dan dialog yang dibawakannya turut menjadi ikutan ramai. Itulah kelebihan seorang anak seni yang berjaya menambat hati masyarakat,” katanya menerusi media sosial, hari ini.
Beliau turut mendoakan semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, menerima segala amal kebajikannya, melapangkan kuburnya serta menempatkan Allahyarham dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.
Terdahulu, media melaporkan Cik Man meninggal dunia petang semalam.
Allahyarham mula dikenali menerusi watak antagonis ikonik ketua Kumpulan Gagak Hitam dalam filem klasik Malaysia Gila-Gila Remaja pada 1986, filem komedi Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) arahan Allahyarham Mamat Khalid serta beberapa filem lain.
Sumber: inforakyat.kelantan.my