KelantanNegeri

Data negara perlu dilindungi daripada penyalahgunaan politik – YB Abdul Latiff

Oleh: Syamimi Manah

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman menegaskan data negara perlu dilindungi daripada penyalahgunaan politik bagi memastikan statistik rasmi kekal berintegriti, dipercayai rakyat dan menjadi asas kepada penggubalan dasar yang tepat.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 di Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu.

Beliau berkata, Jabatan Statistik Malaysia perlu memainkan peranan sebagai institusi yang bebas dan berwibawa dalam mengumpul, mentafsir serta menyebarkan statistik rasmi agar setiap dasar yang digubal berpaksikan data yang tepat dan sahih.

“RUU ini bukan sekadar tentang angka, jadual atau bancian. Ia adalah tentang kontrak sosial antara kerajaan dan rakyat. Statistik yang baik melahirkan dasar yang berjiwa, manakala statistik yang rosak melahirkan dasar yang buta,” katanya.

YB Abdul Latiff turut membangkitkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan data dalam era kecerdasan buatan (AI), integrasi data dan identiti digital, sambil mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan klausa liabiliti sekiranya berlaku kecuaian yang mengakibatkan kebocoran data rakyat.

Beliau juga mempersoalkan peruntukan yang memberikan imuniti luas kepada pegawai kerajaan sedangkan rakyat dan sektor swasta berdepan hukuman berat, sambil menegaskan akauntabiliti perlu diberi keutamaan dalam pengurusan data negara.

“Jangan jadikan perlindungan pegawai sebagai benteng daripada akauntabiliti. Jika berlaku kecuaian, siapa yang akan menjaga penjaga?” soalnya.

Dalam perbahasan sama, beliau turut mengkritik tindakan segelintir ahli politik yang memetik statistik secara terpilih bagi memburukkan Kelantan, sambil menyifatkan amalan tersebut sebagai penyalahgunaan data yang boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi statistik negara.

“Rakyat Kelantan tidak takut dengan data. Kami mengalu-alukan statistik yang tepat untuk membentuk dasar pembangunan yang lebih baik. Namun, kami menolak statistik yang digunakan sebagai alat untuk menanam kebencian,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memastikan RUU Statistik 2026 mempunyai mekanisme yang lebih tegas bagi membendung penyalahgunaan data oleh mana-mana pihak, termasuk ahli politik, sekali gus memelihara integriti statistik rasmi dan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️