Program Muay Thai erat hubungan Kelantan-Thailand
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 19 Julai – Hubungan antara Kelantan dan Thailand terus diperkukuh menerusi diplomasi sukan apabila penganjuran program “Muay Thai Workshop and Thailand–Malaysia Friendship Matches” menjadi platform memperkukuh kerjasama dalam pembangunan belia, di samping mengeratkan hubungan persahabatan antara kedua-dua pihak.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, sukan Muay Thai bukan sekadar menjadi platform persaingan fizikal, malah mampu menyatukan masyarakat serta membina persefahaman rentas sempadan, khususnya melibatkan generasi muda Kelantan dan Thailand.
Menurutnya, penganjuran program berkenaan membuktikan bahawa sukan mempunyai peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar melahirkan atlet berprestasi tinggi, sebaliknya menjadi wadah memperkukuhkan nilai persahabatan, persefahaman dan kerjasama antara dua negara berjiran.
Beliau berkata demikian dalam media rasminya semalam selepas merasmikan program “Muay Thai Workshop and Thailand–Malaysia Friendship Matches” yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu.
Sumber: inforakyat.kelantan.my