NF Growth Minds Development bincang penerbitan media strategik bersama Exco Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 13 Julai — NF Growth Minds Development mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan YB Datuk Kamaruddin Md Nor bagi membincangkan cadangan penerbitan media strategik untuk memperkukuh promosi potensi Negeri Kelantan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Kunjungan yang diketuai Pengarah Urusan NF Growth Minds Development Nik Fazirudean Ibrahim Dato’ Khairi itu memfokuskan usaha membangunkan kandungan media yang mampu menampilkan kekuatan negeri secara lebih menyeluruh dan berimpak.
Sehubungan itu, Datuk Kamaruddin berkata, perbincangan tersebut turut menyentuh pendekatan kreatif dalam mengetengahkan potensi Kelantan dari aspek ekonomi, kepelbagaian budaya serta komitmen terhadap pembangunan lestari.
Menurutnya, cadangan penerbitan itu memberi tumpuan kepada tiga tema utama, iaitu Kelantan Lonjakan Ekonomi, Kelantan Keberagamaan Budaya dan Kelantan Lestari.
“Inisiatif ini dilihat mampu memperkenalkan keunikan industri warisan, keharmonian masyarakat berbilang kaum, potensi eko-pelancongan serta pembangunan hijau yang menjadi antara kekuatan negeri Kelantan,” katanya menerusi media sosial, pada Ahad.
Beliau berharap perbincangan tersebut menjadi titik permulaan kepada kerjasama strategik yang lebih erat dalam memperkasakan promosi Negeri Kelantan melalui penerbitan media yang lebih kreatif dan berkesan.
Tambahnya, pendekatan itu diyakini mampu memperluaskan pengiktirafan terhadap potensi Kelantan serta meningkatkan daya tarikan negeri sebagai destinasi pelancongan, pelaburan dan pembangunan lestari di peringkat nasional serta antarabangsa.
Sumber: inforakyat.kelantan.my
