KelantanNegeri

300 armalah, 100 anak yatim DUN Guchil terima sumbangan kerajaan negeri

 


Oleh: Irham Hilmi Hashim

KUALA KRAI, 13 Julai – Sejumlah 400 penerima terdiri daripada 300 armalah (ibu tunggal) dan 100 anak yatim menerima sumbangan menerusi Majlis Penyampaian Sumbangan Ad Hoc Fasa 2 Peringkat DUN Guchil, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memelihara kebajikan golongan memerlukan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil YB Hilmi Abdullah berkata, program kebajikan seumpama itu merupakan antara usaha yang sentiasa diperkasakan bagi memastikan golongan armalah dan anak yatim terus mendapat perhatian serta pembelaan sewajarnya.

Menurutnya, kehadiran 400 penerima dan masyarakat setempat yang memenuhi dewan menjadi bukti semangat kebersamaan dan kasih sayang masih subur dalam masyarakat.

“Program kebajikan seperti ini merupakan antara legasi yang diperkasakan oleh Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sentiasa menekankan bahawa pemerintahan menurut Islam bukan sekadar membangunkan infrastruktur dan bangunan semata-mata.

“Sebaliknya, keutamaan sebenar adalah memelihara kebajikan insan yang memerlukan. Dalam falsafah Membangun Bersama Islam, golongan armalah dan anak yatim wajib diberi perhatian agar mereka merasai kasih sayang kerajaan dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi media rasminya selepas menyampaikan sumbangan berkenaan yang berlangsung di Dewan Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Sungai Durian, semalam.

“Golongan armalah dan anak yatim perlu sentiasa disantuni kerana mereka adalah sebahagian daripada amanah masyarakat yang wajib dipelihara bersama.

“Apabila kita menghulurkan bantuan dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan, ia bukan sahaja meringankan beban kehidupan, bahkan menjadi asbab turunnya rahmat dan keberkatan kepada masyarakat,” jelasnya.

Dalam pada itu, YB Hilmi berharap sumbangan yang disampaikan dapat memberikan sedikit kegembiraan dan membantu meringankan beban para penerima.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan serta kepada setiap individu yang terus menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Katanya lagi, usaha memperkasa kebajikan masyarakat perlu diteruskan secara kolektif agar DUN Guchil terus menjadi sebuah komuniti yang penyayang, saling menyantuni dan sentiasa memelihara kebajikan golongan yang memerlukan.

“Semoga setiap usaha kebajikan yang dilaksanakan diterima sebagai amal soleh dan menjadi asbab kepada turunnya rahmat serta keberkatan kepada Negeri Kelantan dan seluruh rakyatnya,” ujarnya.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️