Islam perlu jadi asas segenap aspek kehidupan – MB Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KUALA LUMPUR, 13 Julai — Islam hendaklah dijadikan asas dalam segenap aspek kehidupan termasuk dalam pembinaan diri, institusi keluarga, masyarakat serta urusan mentadbir negeri dan negara, kata Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau berkata, ajaran Islam perlu sentiasa dijadikan panduan dalam setiap tindakan dan tanggungjawab yang dipikul bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan berteraskan nilai, integriti dan keberkatan.
“Panduan Islam hendaklah sentiasa dijadikan pedoman walau dalam apa juga keadaan dan tanggungjawab yang dipikul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Pimpinan Parlimen Pasir Mas bersama Warga Kelantan di Perantauan di Dewan IWK Ecopark, Lembah Pantai, di sini, pada Ahad.
Turut hadir Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud, Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadli Shaari, Ahli Dewan Negeri Pengkalan Pasir YB Mohamad Nasriff Daud, Ahli Dewan Negeri Tendong YB Rozi Muhamad serta Pengarah Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) Razuan Awang Hamad.
Dalam pada itu, Dato’ Mohd Nassuruddin turut mengingatkan anak Kelantan di perantauan agar terus menyemai semangat hubbul watan atau cintakan tanah air walau di mana mereka berada.
“Walaupun di mana kita berada, semangat hubbul watan jangan sesekali luntur. Semoga kecintaan kepada tanah air terus subur dalam jiwa kita, sekali gus menjadi pemangkin untuk meneruskan legasi Membangun Bersama Islam demi kesejahteraan negeri yang kita cintai,” katanya di media sosial, pada Ahad.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sukaneka dan Liga Penalti yang menjadi wadah mengeratkan ukhuwah serta silaturahim dalam kalangan anak Kelantan di perantauan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan dan berharap ukhuwah yang terjalin akan terus diperkasakan demi manfaat bersama.
Sumber: inforakyat.kelantan.my

