KelantanNegeri

‘U-turn’ Melor ditutup demi keselamatan, JKR kaji lokasi baharu – YB Wan Rohimi


Oleh: Syamimi Manah

KETEREH, 8 Julai – Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang mengenal pasti lokasi baharu bagi menggantikan dua persimpangan U-turn di Jalan Persekutuan Peringat–Melor yang ditutup atas faktor keselamatan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Melor YB Wan Rohimi Wan Daud berkata, penutupan persimpangan U-turn di Wakaf Tok Wali dan Peringat dibuat berdasarkan dapatan kajian keselamatan lalu lintas selepas kedua-dua lokasi itu dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi yang telah merekodkan banyak kemalangan sehingga meragut puluhan nyawa serta mengakibatkan kecederaan.

Menurutnya, walaupun memahami keresahan yang disuarakan penduduk Melor berhubung penutupan itu, aspek keselamatan pengguna jalan raya perlu diberikan keutamaan.

“Awal Jun lalu saya berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Pengarah JKR Kelantan bagi mendapatkan penjelasan mengenai penutupan U-turn di dua lokasi tersebut.

“Dalam pertemuan itu saya turut memohon agar JKR mempertimbangkan pembukaan persimpangan U-turn baharu sebagai pengganti kepada laluan yang telah ditutup,” katanya di laman rasmi, hari ini.

Menurutnya lagi, Pengarah JKR Kelantan memaklumkan bahawa pihaknya sedang menjalankan kajian di beberapa lokasi berhampiran bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk pembukaan U-turn baharu.

Jelasnya, usaha itu bertujuan memastikan keperluan penduduk dapat dipenuhi tanpa mengabaikan aspek keselamatan pengguna jalan raya.

Beliau turut memaklumkan, isu berkenaan telah dibincangkan bersama Ketua Whip dan Ahli-Ahli Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) sebelum diangkat ke Mesyuarat Penuh MDKPI serta Mesyuarat Jawatankuasa Undang-Undang, Lalulintas dan Kerja-Kerja Am MDKPI.

Tambahnya, kedua-dua mesyuarat tersebut turut dihadiri Jurutera Daerah dan pegawai JKR Negeri bagi membincangkan langkah penyelesaian terbaik terhadap isu berkenaan.

“Buat masa ini JKR masih dalam kajian bagi mengenal pasti lokasi U-turn yang bersesuaian. Saya berharap sedikit ruang dapat diberikan kepada JKR untuk meneliti sebaik-baiknya isu ini demi keselamatan dan kesejahteraan kita bersama” jelasnya.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️