KelantanNegeri

MyCC perlu bebas, berani dan telus kuat kuasa undang-undang – Datuk Dr Ahmad Marzuk


Oleh: Syamimi Manah

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) perlu menjadi sebuah institusi yang bebas, berani dan telus dalam menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan persaingan pasaran yang adil serta melindungi kepentingan rakyat.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa YB Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary berkata, MyCC memainkan peranan penting dalam membanteras kartel, monopoli dan penyalahgunaan kuasa pasaran yang bukan sahaja menekan pengguna, malah menutup peluang perusahaan kecil serta menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup.

“Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berperanan memastikan pasaran kekal adil dengan membanteras kartel, monopoli dan penyalahgunaan kuasa pasaran yang menekan pengguna, menutup peluang perusahaan kecil serta meningkatkan kos sara hidup.

“Saya menegaskan MyCC mesti menjadi institusi yang bebas, berani dan telus dalam menguatkuasakan undang-undang tanpa memilih bulu,” katanya menerusi laman sosial, pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas membahaskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat pada 6 Julai.

Menurutnya, kuasa yang lebih besar kepada MyCC perlu disertai dengan akauntabiliti yang lebih kukuh, termasuk bertanggungjawab kepada Parlimen supaya setiap tindakan dan prestasi suruhanjaya dapat dinilai secara telus.

Datuk Dr Ahmad Marzuk turut menegaskan penguatkuasaan undang-undang persaingan hendaklah dilaksanakan secara adil terhadap semua pihak, termasuk syarikat dominan, syarikat multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tanpa sebarang layanan istimewa.

Menurutnya, MyCC juga perlu lebih proaktif melalui pelaksanaan market review terhadap sektor yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat serta menerbitkan laporan kepada umum bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi itu.

Mengulas cabaran ekonomi digital, beliau berpandangan MyCC perlu diperkasa dengan kepakaran teknologi, analisis data dan forensik digital bagi menangani bentuk baharu penyalahgunaan kuasa pasaran yang melibatkan platform digital dan algoritma.

“Apabila kartel dibiarkan bermaharajalela, yang terjejas ialah keadilan pasaran, dan akhirnya membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa serta rasuah,” ujarnya..

Tambahnya, kejayaan pindaan akta itu seharusnya diukur berdasarkan kebebasan institusi berkenaan untuk melaksanakan tanggungjawab secara adil, telus dan tanpa memilih bulu demi memastikan harga lebih adil, peluang lebih terbuka serta persaingan pasaran yang lebih sihat untuk rakyat.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️