Musibah uji pesakit dan seluruh keluarga – Datuk Dr Ahmad Marzuk
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Dato’ Dr Ahmad Marzuk
PENGKALAN CHEPA, 7 Julai – Musibah yang menimpa seseorang individu memberi kesan kepada pesakit dan turut mengubah keseluruhan kehidupan dan peranan setiap ahli keluarga yang terlibat.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa YB Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary berkata, setiap kali berpeluang turun ke lapangan, perkara paling jelas yang dilihat ialah kesan sesuatu musibah melibatkan seluruh ekosistem keluarga dan bukan tertumpu kepada seorang sahaja.
Menurutnya, apabila seorang anggota keluarga yang selama ini menjadi tempat bergantung hilang keupayaan untuk bekerja, tanggungjawab baharu akan dipikul oleh pasangan serta ahli keluarga lain yang perlu menyesuaikan kehidupan dengan keadaan semasa.
“Apabila musibah menimpa sebuah keluarga, yang berubah bukan hanya seorang pesakit. Seluruh ekosistem keluarga berubah,” katanya di laman rasmi, pada Ahad.
Beliau berkata demikian setelah turun bersama Skuad Kita Cakna DUN Chempaka menziarahi rakyat yang diuji dengan musibah dalam DUN berkenaan pada Ahad.
Sumber: inforakyat.kelantan.my