RM675,000 untuk TRS 3.0, dijangka manfaatkan lebih 2,700 calon SPM Kelantan – Exco Pendidikan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 7 Julai — Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan sebanyak RM675,000 bagi melaksanakan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) 3.0 tahun ini yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,700 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negeri.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, peruntukan sebanyak RM15,000 bagi setiap 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa agenda pendidikan rakyat, khususnya membantu calon SPM meningkatkan pencapaian akademik.
Menurutnya, program yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya itu bakal melibatkan lebih 60 pelajar bagi setiap DUN dengan bimbingan akademik yang lebih tersusun menerusi empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.
“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM15,000 bagi setiap DUN untuk pelaksanaan program ini. Dengan penglibatan 45 DUN di seluruh Kelantan, lebih 60 orang pelajar bagi setiap DUN akan menerima manfaat daripada pelaksanaan Tuisyen Rakyat Sejahtera 3.0,” katanya.
Sumber: inforakyat.kelantan.my