RUU Jenayah Siber perlu tegas, adil tanpa pendakwaan terpilih – YB Ahmad Fadhli
Oleh: Syamimi Manah
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadhli Shaari menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 perlu memperuntukkan hukuman yang tegas terhadap penjenayah siber dan penguatkuasaannya mesti dilaksanakan secara adil tanpa pendakwaan secara terpilih.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan RUU Jenayah Siber 2026 di Dewan Rakyat, semalam.
Perbahasan beliau memfokuskan kepada dua isu utama iaitu keberkesanan hukuman yang lebih berat serta keperluan memastikan kuasa penguatkuasaan dilaksanakan secara saksama.
Menurutnya, RUU tersebut memperuntukkan hukuman yang jauh lebih berat berbanding undang-undang sedia ada, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun bagi kesalahan mengakses sistem komputer tanpa kuasa manakala hukuman boleh meningkat sehingga RM500,000 atau penjara tujuh tahun jika dilakukan bagi memudahkan kesalahan lain.
Tambahnya, bagi kesalahan penipuan berkaitan komputer, hukuman maksimum ialah denda RM1 juta atau penjara 10 tahun, manakala kesalahan melibatkan kandungan ‘deepfake’ boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara tujuh tahun.
“Saya menyokong hukuman yang lebih berat terhadap penjenayah siber. Namun persoalannya, adakah hukuman yang semakin berat benar-benar menjamin jenayah akan berkurangan, atau kerajaan perlu meningkatkan keupayaan mengesan, menyiasat dan membawa penjenayah ke muka pengadilan,” katanya di laman rasmi, pada Rabu.
Beliau turut merujuk statistik kerajaan yang menunjukkan jenayah siber terus meningkat walaupun pelbagai undang-undang telah diwujudkan, termasuk 31,515 kes penipuan telekomunikasi, 19,828 kes penipuan komputer, 16,186 kes penipuan e-dagang, 6,206 kes e-kewangan dan 833 kes jenayah seksual komputer yang direkodkan sepanjang tahun 2025.
Dalam perbahasan itu, YB Ahmad Fadhli juga membangkitkan kebimbangan terhadap kuasa yang diberikan kepada menteri di bawah RUU berkenaan serta menegaskan undang-undang yang baik perlu menjamin penguatkuasaan yang konsisten dan bebas daripada pendakwaan terpilih.
“Undang-undang yang baik bukan sekadar memberikan kuasa yang besar kepada kerajaan tetapi mestilah menjamin penguatkuasaan yang konsisten dan tidak bersifat terpilih,” jelasnya.
Beliau memberi contoh beberapa dakwaan di media sosial yang menurutnya tidak selari dengan fakta rasmi termasuk dakwaan bahawa Kelantan merupakan negeri tertinggi bagi jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Menurutnya, Laporan Statistik Kanak-Kanak Malaysia 2025 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Kelantan merekodkan 124 kes jenayah seksual melibatkan mangsa berumur 18 tahun ke bawah pada 2023 dan 91 kes bagi kesalahan seksual terhadap kanak-kanak pada 2024 iaitu lebih rendah berbanding beberapa negeri lain.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada RUU Jenayah Siber 2026 benar-benar mampu membendung penyebaran maklumat palsu secara menyeluruh atau hanya dikuatkuasakan secara terpilih terhadap pihak tertentu.
Sumber: inforakyat.kelantan.my