PKD Bunut Payong raih empat bintang, antara 12 terbaik di Kelantan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media PKD Bunut Payong
KOTA BHARU, 2 Julai — Pusat Khidmat Dewan Negeri (PKD) Bunut Payong meraih penarafan empat bintang dan tersenarai antara 12 PKD berprestasi terbaik daripada 45 PKD di seluruh Kelantan hasil penilaian prestasi yang dilaksanakan oleh Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik Pejabat Menteri Besar Kelantan (SPARK) dengan kerjasama Pusat Kajian Strategik Kelantan (PKS).
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman berkata, PKD Bunut Payong memperoleh markah keseluruhan 82.90 peratus sekali gus melayakkannya menerima penarafan tersebut.
Beliau memaklumkan perkara itu menerusi media sosial selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan DUN Bunut Payong pada 29 Jun.
“Tahap penarafan tertinggi ialah lima bintang namun tiada mana-mana PKD yang berjaya mencapainya pada penilaian kali ini.
“Alhamdulillah, PKD Bunut Payong memperoleh 82.90 peratus dan tersenarai dalam kelompok PKD berprestasi terbaik di Kelantan,” jelasnya.
Sumber: inforakyat.kelantan.my