Mufti seluruh negara bersidang di Kelantan, muktamadkan hukum isu semasa umat
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 1 Julai – Mufti-mufti seluruh negara bersidang di Kelantan selama tiga hari bagi membincangkan serta memuktamadkan pandangan hukum terhadap pelbagai isu semasa yang dihadapi umat Islam menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-130.
Mesyuarat yang berlangsung bermula 29 Jun hingga hari ini di Hotel Perdana, Kota Bharu menghimpunkan Ahli Jawatankuasa Muzakarah MKI untuk meneliti isu berkaitan akidah, syariah dan akhlak (tasawuf), selain menghasilkan pandangan hukum, kertas makluman dan garis panduan sebagai rujukan kerajaan, sektor swasta serta masyarakat Islam di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI Dato’ Paduka (Dr.) Nooh Gadot berkata, jawatankuasa itu yang ditubuhkan sejak tahun 1970 telah melaksanakan 130 kali mesyuarat dan menghasilkan lebih 400 pandangan hukum serta garis panduan yang menjadi rujukan pelbagai pihak.
“Pandangan hukum yang diputuskan akan dimaklumkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja bagi mendapat perkenan dan seterusnya dikemukakan kepada pihak berkuasa fatwa negeri untuk tindakan selanjutnya.
“Keputusan yang dihasilkan melalui proses kajian dan penyelidikan yang teliti serta diputuskan menerusi semangat ijtihad jama’ie yang menggabungkan kepakaran dalam bidang akidah, syariah, tasawuf, sains, teknologi, sosial, budaya dan ekonomi demi memelihara maqasid syariah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Tautan Ulama’ dan Umara’ sempena Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-130 di Hotel Perdana, di sini, semalam.
Menurutnya, mekanisme yang diamalkan Jawatankuasa Muzakarah MKI membantu melahirkan fatwa dan pandangan hukum yang berwibawa serta mempunyai kredibiliti tinggi untuk dijadikan sandaran oleh kerajaan, swasta dan masyarakat.
Sumber: inforakyat.kelantan.my