KelantanNegeri

MKI: Ulama pandu masyarakat ikut wahyu, umara jaga maslahah ummah -MB Kelantan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 1 Julai — Majlis Tautan Ulama’ dan Umara’ menjadi simbol kesatuan antara dua institusi yang menjadi tonggak kekuatan umat Islam, apabila ulama berperanan memandu masyarakat berasaskan petunjuk wahyu manakala umara melaksanakan amanah pemerintahan demi menegakkan keadilan dan menjaga maslahah rakyat.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, sinergi antara ulama dan umara amat penting dalam mendepani pelbagai cabaran semasa agar setiap dasar dan keputusan yang dibuat sentiasa berpaksikan syariat Islam serta memenuhi kepentingan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tautan Ulama’ dan Umara sempena Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-130 di sebuah hotel, di sini, semalam.

Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI terus memainkan peranan penting sebagai platform menyatukan ijtihad dan pandangan ulama dari seluruh negara dalam menangani pelbagai isu semasa yang dihadapi umat Islam.

“MKI telah memainkan peranan yang sangat besar dalam menyatukan pandangan dan ijtihad para ulama di negara ini. Walaupun Malaysia mempunyai latar belakang masyarakat dan pentadbiran agama yang pelbagai, melalui platform muzakarah inilah lahir pelbagai keputusan penting yang menjadi rujukan kepada umat Islam,” katanya.

Mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 Jun hingga 1 Julai itu menghimpunkan para mufti serta Ahli Jawatankuasa Muzakarah MKI dari seluruh negara bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan hal ehwal agama Islam.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️