Sistem politik perlu lebih adil, capai sasaran 30 peratus wanita – Dato’ Mumtaz
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media YB Dato’ Mumtaz
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Reformasi sistem politik yang lebih adil, inklusif dan mesra wanita perlu dilaksanakan bagi memastikan sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam politik negara dapat dicapai secara berkesan.
Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, usaha meningkatkan penyertaan wanita dalam politik tidak seharusnya tertumpu kepada angka semata-mata, sebaliknya perlu disertai pembaharuan menyeluruh yang mampu menghapuskan pelbagai halangan struktur dan sistemik yang menghalang wanita daripada mencapai kedudukan kepimpinan.
Menurutnya, wanita merupakan hampir separuh daripada penduduk negara dan memainkan peranan besar dalam institusi keluarga, pendidikan, ekonomi, sektor profesional, perkhidmatan awam serta pembangunan masyarakat.
“Persoalan sebenar hari ini bukan sekadar bagaimana kita menambah bilangan wanita dalam Parlimen, tetapi bagaimana kita memastikan wanita mampu mempengaruhi dan menguasai dasar negara secara berkesan dan berterusan,” katanya ketika membahaskan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat berhubung Kesaksamaan Gender Dalam Politik Malaysia: Ke Arah Sasaran 30 Peratus Penglibatan Wanita di Malaysia di Dewan Rakyat pada 22 Jun.
Sumber: inforakyat.kelantan.my