Hijraturrasul; Penyatuan Umat Kunci Kekuatan Islam
KUALA TERENGGANU – Umat Islam perlu kembali menghayati semangat hijrah dengan memperkukuhkan persaudaraan, memakmurkan masjid dan menjadikan hubungan dengan Allah SWT sebagai asas utama kejayaan ummah.
Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, peristiwa hijrah Rasulullah SAW mengandungi pelbagai pengajaran penting yang masih relevan untuk dihayati dalam kehidupan umat Islam hari ini.
Menurut beliau, antara pengajaran utama hijrah ialah berpindah daripada kelemahan kepada kekuatan, daripada kejahilan kepada ilmu dan daripada kemunduran kepada kemajuan serta ketamadunan.
“Hijrah juga mengajar umat Islam supaya meninggalkan perpecahan, perbalahan dan permusuhan kepada penyatuan, persaudaraan serta perdamaian sesama Muslim.
“Pada masa yang sama, umat Islam perlu menjadikan hubungan dengan Allah SWT sebagai sebab utama kejayaan dalam kehidupan,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, masjid perlu berperanan sebagai pusat sehenti umat Islam yang bukan sahaja menjadi tempat ibadah, malah medan menuntut ilmu, mengukuhkan ukhuwah dan menyemarakkan semangat tolong-menolong dalam masyarakat.
“Umat Islam menghayati semangat hijrah dalam kehidupan seharian pada masa kini dengan berusaha membina persaudaraan dan penyatuan umat Islam dengan mengutama titik persamaan dan bertolak ansur dalam perbezaan.
“Berjuang untuk membina sebuat negara yang menguruskan umat melalui siasah syaiyyah sepertimana diusahakan oleh baginda saw setelah berhijrah ke al Madinah,” katanya.
Mengulas isu gejala sosial dan keruntuhan moral, beliau menegaskan faktor utama masalah tersebut berpunca daripada kelemahan ilmu agama, kurangnya pendidikan dalam pengurusan kehidupan serta semakin jauhnya masyarakat daripada roh masjid.
“Justeru, usaha membimbing generasi muda perlu dimulakan dengan mengembalikan mereka kepada roh dan semangat hijrah Rasulullah SAW serta mendekatkan mereka dengan masjid,” ujarnya.
Dr Wan Mat turut menegaskan bahawa kekuatan Islam tidak akan dapat dicapai tanpa penyatuan umat.
“Umat Islam perlu berjiwa besar mencari titik persamaan, bertolak ansur dan berlapang dada dalam perbezaan demi mencapai kesatuan yang menjadi sumber kekuatan sebenar umat,” katanya.
Beliau turut menyeru umat Islam mengambil peluang pada bulan Muharam untuk memperbanyakkan amalan sunat seperti berpuasa pada 9, 10 dan 11 Muharam, bersedekah, mengeratkan silaturahim, membaca al-Quran dan memperbanyakkan zikir.
Sementara itu, Dr Wan mengajak masyarakat Islam supaya kembali menginsafi dan berusaha untuk kembali kepada pengajaran yang telah ditunjukkan oleh nabi saw dalam peristiwa hijrah ini.
“Dengan berusaha mempersaudara ansar dan mujahijirin serta membuat perjanjian damai bukan Islam yang tidak menentang Islam.
“Kembali memakmurkan masjid dengan program ibadah dan kemasyarakat serta berusaha mewujudkan sebuah negara Islam yang adil kepada seluruh rakyat dengan menjadi Islam sebagai asas pengurusan dan pentadbiran,” tegasnya.
Beliau mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1448H kepada seluruh umat Islam dan berharap tahun baharu hijrah ini menjadi titik permulaan ke arah penyatuan hati, kesejahteraan serta keberkatan buat seluruh masyarakat.