BeritaDewan MuslimatMuslimat — BeritaMuslimat — Kenyataan Media

MUSLIMAT PAS TAAT KEPUTUSAN PARTI

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian PAS Pusat untuk menamatkan kerjasama politik dengan parti Bersatu. Pendirian ini selaras dengan kenyataan Tuan Guru Tan Sri Presiden PAS yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk mengkaji semula hubungan politik dengan parti tersebut.

DMPP berpandangan bahawa kerjasama antara PAS dan Bersatu selama ini dibina atas asas “ta’awun siyasi” yang berpaksikan prinsip saling membantu dalam perkara kebaikan serta demi kepentingan Islam dan ummah. Justeru, setiap bentuk kerjasama politik yang dijalin sewajarnya menjadi pemangkin kepada agenda yang lebih besar iaitu memperkukuhkan gagasan penyatuan ummah yang menjadi perjuangan utama PAS sejak sekian lama.

Gagasan penyatuan ummah merupakan asas penting dalam membina kekuatan politik umat Islam dan rakyat yang cintakan kestabilan negara. Agenda ini terbukti mampu menjadi formula yang lebih kukuh dalam menghadapi cabaran politik semasa serta memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera menjelang pilihan raya akan datang.

Namun demikian, apabila kerjasama yang terjalin tidak lagi membantu ke arah memperluaskan penyatuan ummah, malah berdepan dengan pelbagai kekangan dan halangan tertentu, maka pendirian yang diambil oleh PAS Pusat pada ketika ini adalah satu keputusan yang wajar dan bertepatan dengan keperluan semasa.
DMPP menyeru seluruh muslimat PAS di semua peringkat agar menerima keputusan ini dengan penuh ketaatan, kematangan dan jiwa yang besar. Sesungguhnya setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan pertimbangan yang terbaik demi maslahat perjuangan Islam, jamaah dan ummah.

Insya-Allah, PAS akan terus istiqamah memperjuangkan Islam serta memperkukuhkan usaha penyatuan ummah demi masa depan negara yang lebih sejahtera dan diberkati Allah SWT.

Sekian.

𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳𝐚𝐡 𝐇𝐚𝐣𝐣𝐚𝐡 𝐍𝐮𝐫𝐢𝐝𝐚𝐡 𝐛𝐭 𝐒𝐚𝐥𝐥𝐞𝐡
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM)
9 Jun 2026 bersamaan 23 Zulhijjah 1447H

📱 📘 🐦 ✈️