NegeriTerengganu

PAS Tidak Pernah Rugi Dalam Politik

KUALA TERENGGANU – PAS tidak pernah mengalami kerugian dalam perjalanan politiknya sama ada ketika menjalinkan kerjasama dengan parti lain mahupun bergerak secara bersendirian.

Timbalan Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, sejarah politik negara membuktikan PAS sentiasa mampu mencipta kejayaan dalam pelbagai bentuk kerjasama politik tanpa mengorbankan prinsip perjuangan Islam yang menjadi asas penubuhan parti itu.

Menurutnya, PAS pernah menyertai Barisan Nasional pada era 1970-an sebelum membentuk Angkatan Perpaduan Ummah bersama Semangat 46 pada tahun 1990, yang menyaksikan parti itu berjaya mengambil alih pentadbiran Kelantan dan mempertahankannya sehingga kini.

“PAS juga pernah bersama Barisan Alternatif pada tahun 1999 dan berjaya menawan Terengganu, selain mempertahankan Kelantan.

“Pada tahun 2008 pula, kerjasama dalam Pakatan Rakyat menyaksikan pembangkang mencatat kejayaan besar di beberapa negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, selepas perpecahan Pakatan Rakyat, ramai pihak meramalkan PAS akan menjadi lemah, namun parti itu membuktikan sebaliknya apabila berjaya merampas kembali Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 selain terus mengukuhkan kedudukannya di Kelantan.

Katanya, kerjasama menerusi Perikatan Nasional turut memberikan impak positif apabila gabungan itu berjaya mengekalkan penguasaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah serta menguasai Perlis pada Pilihan Raya Negeri 2023.

Mohd Fadhli berkata, pencapaian tersebut menunjukkan kekuatan PAS tidak bergantung sepenuhnya kepada rakan politik, sebaliknya disokong oleh komitmen ahli, kejelasan dasar perjuangan serta keyakinan rakyat terhadap agenda yang dibawa parti itu.

Beliau turut mengingatkan ahli dan penyokong PAS agar tidak membuat penilaian terhadap sesuatu keputusan politik hanya berdasarkan kesan jangka pendek kerana setiap langkah yang diambil mempunyai pertimbangan dan hikmah tersendiri.

“Kadangkala sesuatu keputusan tidak menampakkan hasil serta-merta, namun sejarah telah berkali-kali membuktikan PAS mempunyai kemampuan untuk bangkit, berkembang dan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik negara,” jelasnya.

Beliau menegaskan PAS akan terus berpegang kepada dasar perjuangan Islam serta komited memperkukuhkan peranannya dalam membawa aspirasi rakyat dan ummah pada masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️