Pahang

Jadilah suami terbaik di sisi Allah SWT

 

Oleh : FARIDAH KAMARUDDIN

Daripada Aisyah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap isteriku.” (Riwayat al-Tirmizi)

Dalam riwayat lain daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan sebaik-baik kamu ialah yang terbaik terhadap isterinya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Ukuran sebenar keperibadian dan akhlak seorang lelaki bukanlah dinilai di luar rumah, tetapi bagaimana dia melayani dan berlembut dengan isterinya sendiri. Rasulullah SAW sendiri membuktikan kata-kata ini dengan menjadi suami yang paling penyayang, pemaaf, sentiasa membantu serta menggembirakan isteri-isteri Baginda. Janganlah menjadi seperti sebahagian manusia yang hanya baik di luar rumah, di masjid, di mimbar atau di hadapan orang lain.

Jika hendak mengetahui sama ada seseorang itu benar-benar baik, jangan hanya bertanya kepada teman-temannya, tetapi tanyalah kepada isterinya kerana isterilah yang melihat seluruh kelakuan dan peribadi suaminya.

Nabi SAW telah menunjukkan teladan bahawa Baginda adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Maka jadilah kalian orang yang paling baik terhadap isteri dan keluarga kalian.

Perempuan diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok. Jika kamu cuba meluruskannya, ia akan patah. Namun jika dibiarkan, ia tetap bengkok. Jadi, apakah penyelesaiannya?

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud: “Berpesan-pesanlah kepada kebaikan terhadap kaum wanita (isteri), kerana mereka diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok. Dan sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas. Jika kamu cuba meluruskannya, nescaya ia akan patah, dan jika kamu membiarkannya, ia akan terus membengkok. Oleh itu, berpesan-pesanlah kepada kebaikan terhadap kaum wanita.” (Sahih al-Bukhari dan Muslim)

Sifat “bengkok” yang dimaksudkan bukanlah kekurangan akal atau suatu aib, tetapi merujuk kepada sifat semula jadi wanita yang mempunyai emosi dan perasaan yang unik serta berbeza daripada lelaki.

Hadis ini mengajar suami agar tidak menggunakan kekerasan atau menuntut isteri berfikir dan bertindak seratus peratus sama seperti lelaki. Suami dituntut supaya sentiasa bersabar, membimbing dengan hikmah serta menerima kelemahan, kesilapan dan kekurangan isteri dengan penuh toleransi dan kemaafan agar keharmonian rumah tangga dapat dipelihara.

Sekiranya seorang suami berasa tidak menyukai isterinya, Nabi SAW telah berpesan melalui sabdanya yang bermaksud:

“Janganlah seorang mukmin (suami) membenci seorang mukminah (isteri). Jika dia tidak menyukai satu perangai daripada isterinya, maka dia pasti akan reda dengan perangainya yang lain.” (Riwayat Muslim, No. 1469)

Tiada manusia yang sempurna. Jika suami melihat ada sifat atau sikap isteri yang tidak disukai, pasti terdapat banyak lagi kebaikan, pengorbanan dan akhlak mulia yang boleh dihargai.

Jika suami hanya memberi tumpuan kepada keburukan atau kekurangan, ia akan mengundang rasa benci dan kecewa yang berlebihan. Sebaliknya, mengingati kebaikan isteri dapat memupuk rasa syukur serta menyuburkan kasih sayang.

Jika ada sikap isteri yang benar-benar perlu diperbetulkan, Islam menganjurkan agar ia ditegur dengan cara yang baik, lembut dan penuh kesabaran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu berasa benci kepada mereka, maka bersabarlah, kerana mungkin Allah menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak.” (Surah al-Nisa’: 19)

Justeru, layanilah isteri dengan tutur kata yang lembut, penuh kasih sayang, tidak menyakiti fizikal atau emosinya, serta tunaikan nafkah zahir dan batin dengan ikhlas.

Jika terdapat kekurangan atau perkara yang tidak disukai pada pasangan, suami dituntut untuk bersabar dan mencari jalan penyelesaian yang positif. Berikan haknya, perhatian, cinta dan kasih sayang sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Sentiasalah berfikiran positif, bersangka baik terhadap pasangan serta berhusnuzan kepada Allah SWT.

Penutup

Dalam setiap langkah kehidupan ini, marilah kita sentiasa mengingati Allah SWT dengan ketaatan, kesyukuran dan ibadah yang terbaik. Setiap kebaikan yang dilakukan hendaklah disertai dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Setiap kali kita berasa lemah, ingatlah bahawa Allah SWT sentiasa ada untuk membantu hamba-Nya. Mintalah pertolongan daripada-Nya dengan sepenuh hati.

Subhanallah, betapa indahnya kehidupan ini jika kita sentiasa berusaha menjadi insan yang terbaik di sisi Allah SWT. Setiap teguran dan muhasabah diri merupakan peluang untuk memperbaiki diri serta mendekatkan diri kepada-Nya.

Semoga kita semua sentiasa berada di bawah naungan reda, rahmat, kasih sayang, hidayah dan keampunan Allah SWT.

Walaupun artikel ini lebih memfokuskan kepada peranan suami, namun segala pengajaran dan peringatan yang terkandung di dalamnya juga sangat sesuai dijadikan panduan oleh para isteri.

Wallahu a’lam.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️