Hidupkan Sunnah Korban, 300 Bekas Daging Dikongsi Bersama Penduduk Kurang Berkemampuan
DUNGUN β Sunnah korban terus disemarakkan apabila sebanyak 300 bekas daging korban diagihkan kepada penduduk kurang berkemampuan.
Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Rantau Abang, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata ibadah korban menghidupkan semangat pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan keprihatinan sosial yang dituntut oleh Nabi Muhammad SAW.
βIa adalah lambang ketaatan kepada Allah SWT serta manifestasi kasih sayang dan bantuan kepada golongan yang memerlukan (fukara dan masakin),β ujarnya.
Ustaz Mohd Fadhli berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ibadah Korban 1447H/ 2026 yang diadakan di perkarangan Surau Pok Malik, Teluk Bidara disini ada 30 Mei.
Katanya, sebanyak empat ekor lembu telah dikorbankan dalam program tersebut, termasuk seekor daripadanya sumbangan Syarikat Ladang Rakyat.
βProgram ini bukan sahaja bertujuan melaksanakan tuntutan ibadah korban sempena Aidiladha, malah menjadi medium untuk berkongsi rezeki serta menyantuni golongan yang memerlukan di kawasan setempat,β jelasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang itu juga telah menyempurnakan penyerahan daging korban kepada wakil daripada tiga PAS Cawangan di bawah Unit Daerah Mengundi (UDM) Seberang Pintasan untuk diagihkan kepada penerima yang telah dikenal pasti.
Beliau berkata, program berkenaan mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat dalam menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim A.S. di samping memperkukuhkan hubungan silaturahim antara penduduk dan sukarelawan yang terlibat.
βKorban bukan sekadar penyembelihan haiwan, tetapi simbol ketaatan kepada Allah SWT, pengorbanan diri serta keprihatinan terhadap saudara-saudara yang memerlukan. Semoga usaha ini memberi manfaat kepada penerima dan mengeratkan lagi ukhuwah dalam masyarakat,β katanya.