Kenyataan Media

KPM Wajar Ambil Tindakan Drastik Tangani Kes Jenayah Seksual di Sekolah

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
30 Mei 2026 | 13 Zulhijjah 1447H

Pemuda PAS Malaysia menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian yang sewajarnya terhadap kes-kes
jenayah seksual khususnya melibatkan guru dan anak murid yang berlaku dalam kawasan persekolahan.

Pendedahan demi pendedahan terhadap kes-kes sebegini seharusnya membuka mata ramai pihak terhadap suatu krisis dalaman yang
parah yang sedang berlaku melibatkan institusi pendidikan negara.

Pemuda PAS Malaysia berpandangan isu kes jenayah seksual yang berlaku melibatkan guru dan anak murid itu satu isu yang
sangat genting. Hal yang demikian ditambah lagi dengan kelemahan pengurusan kes oleh pihak PPD dan sekolah termasuklah
tindakan yang tidak wajar diambil seolah-olah dibuat bagi menutup satu-satu kes daripada terdedah ke pengetahuan masyarakat
awam.

Kedua-dua perkara ini begitu membimbangkan kita. Adakah tidak ada suatu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas dalam
mengurus krisis yang berlaku apatah lagi melibatkan kes jenayah seksual yang parah seperti itu?

Persoalan lain yang memerlukan garisan yang jelas dalam isu sebegini adalah, apakah bentuk mekanisme perlindungan yang
tegas terhadap si mangsa yang merupakan murid sekolah itu sendiri sedangkan guru yang merupakan pihak yang tertuduh juga
dikatakan masih bebas berada dalam kawasan sekolah?

Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa isu jenayah seksual yang berlaku di sekolah bukanlah isu remeh dan kecil. Institusi
pendidikan seharusnya bersih daripada sebarang “kekotoran” luar, bahkan sepatutnya menjadi tempat pembelajaran yang selamat
untuk kanak-kanak.

Justeru, Pemuda PAS Malaysia mengulangi gesaan supaya pihak KPM tidak teragak-agak mengambil langkah yang tegas terhadap
kes-kes jenayah seksual seperti yang sedang didedahkan kepada awam ketika ini. Bahkan juga KPM perlu memastikan suatu tindakan
yang drastik bagi membendung jenayah yang sama di seluruh institusi pendidikan dalam negara.

Sekian.

YB Ustaz Mohd Hafez bin Sabri
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️