PEMUDA PAS WANGSA MAJU GEGAR MESYUARAT AGUNG: DESAK JAWATAN PENGERUSI PN WILAYAH DISERAH KEPADA PAS
Wangsa Maju, 18 Mei — Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-26 yang berlangsung di Markas PAS Kawasan Wangsa Maju dengan kehadiran para perwakilan, pimpinan serta ahli-ahli pemuda dari seluruh cawangan.
Mesyuarat tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Mohamed Sukri Omar yang turut menyampaikan amanat dan penegasan mengenai peranan penting pemuda dalam memperkukuhkan gerak kerja parti serta mendepani cabaran politik semasa negara.
Dalam ucapan aluannya, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Beyhaqi Ramli menzahirkan penghargaan atas komitmen seluruh saf pemuda yang terus istiqamah menggerakkan agenda kebajikan, dakwah dan politik di peringkat kawasan.
Beliau turut menekankan kepentingan kesatuan serta kesiapsiagaan jentera pemuda dalam menghadapi landskap politik semasa demi memastikan PAS terus kukuh dan diyakini rakyat, khususnya di Parlimen Wangsa Maju.
Sementara itu, Ustaz Mohamed Sukri Omar dalam ucapan perasminya menyeru seluruh pemuda agar terus menjadi tenaga penggerak utama parti dengan membawa politik matang, bersih dan berintegriti. Beliau turut menegaskan bahawa anak muda perlu tampil ke hadapan sebagai agen perubahan yang dekat dengan masyarakat serta memahami keperluan rakyat pelbagai lapisan.
Mesyuarat turut meluluskan satu usul tergempar sebulat suara daripada perwakilan Dewan Pemuda PAS Wangsa Maju yang mendesak agar jawatan Pengerusi Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan dinilai semula dan diserahkan kepada PAS berdasarkan kekuatan gerak kerja, pengaruh akar umbi serta komitmen berterusan PAS di Wilayah Persekutuan.
Turut hadir memeriahkan mesyuarat ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud bersama saf Jawatankuasa Harian PAS Kawasan Wangsa Maju.
Mesyuarat Agung Tahunan kali ini menjadi medan penting memperkukuhkan ukhuwah, menyusun strategi serta memperkasa peranan pemuda dalam membawa agenda perjuangan Islam dan kebajikan rakyat di Wangsa Maju.