Ibadah Korban Tanda Kesyukuran dan Pengukuhan Ukhuwah

Rabu, 27 Mei – Sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini diraikan dengan penuh penghayatan, keinsafan dan semangat ukhuwah oleh pimpinan serta ahli-ahli PAS Kawasan Titiwangsa. Pada kesempatan ini juga, ucapan tahniah dan doa dipanjatkan buat para tetamu Allah SWT yang telah dipilih untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah.
Seawal jam 8.00 pagi, para ahli telah berkumpul bagi menunaikan Solat Sunat Aidiladha secara berjemaah sebelum mendengar khutbah yang disampaikan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Titiwangsa, Ustaz Haji Abd Hadi Abd Halim.
Sejurus selesai ibadah tersebut, program ibadah korban diteruskan secara bergotong-royong melibatkan pimpinan kawasan, ahli-ahli cawangan serta anggota Dewan Pemuda, Dewan Ulamak dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa.
Pada tahun ini, sebanyak tiga ekor lembu serta enam ekor kambing bagi tujuan korban dan akikah telah disempurnakan. Suasana penuh ukhuwah dan kerjasama jelas terpancar sepanjang program berlangsung apabila para muslimin bersama-sama melaksanakan kerja-kerja penyembelihan, melapah serta memotong daging dan tulang, manakala para muslimat membantu dalam urusan memotong, membungkus daging serta menyediakan juadah.
Yang Dipertua PAS Kawasan Titiwangsa, Ustaz Mohamad Suhaimi bin Abdul Aziz dalam perutusannya menegaskan bahawa kisah ketaatan dan pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dalam melaksanakan perintah Allah SWT untuk menyembelih puteranya, Nabi Ismail A.S. — yang kemudiannya digantikan dengan kibas oleh Allah SWT — merupakan lambang kemuncak kecintaan dan kepatuhan seorang hamba kepada Tuhannya.
Beliau turut menambah bahawa Allah SWT amat mengasihi hamba-hamba-Nya yang sentiasa taat, sabar dan istiqamah dalam melaksanakan segala perintah-Nya.
Mengakhiri perutusannya, beliau merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh muslimin dan muslimat khususnya warga Titiwangsa, serta mendoakan agar seluruh ibadah dan amalan korban yang dilaksanakan diterima oleh Allah SWT sebagai amal soleh yang diberkati.