KelantanNegeri

AKSB tingkat usaha kurangkan NRW akibat paip bocor, pecah

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 25 Mei – Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) komited mengambil inisiatif bagi mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang berpunca daripada kebocoran dan paip pecah dalam sistem agihan bekalan air di negeri ini.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata antara cabaran utama ialah mengesan paip pecah terutama yang berlaku di bawah tanah dan di kawasan bertekanan air rendah.

Katanya, terdapat kebocoran yang dikesan sendiri pihak AKSB selain aduan diterima daripada pengguna, namun masih banyak kes yang sukar dikenal pasti.

“Ada paip pecah yang pihak AKSB cari dan ada yang dilaporkan, namun banyak juga yang tidak dijumpai.

“Paip pecah di bawah tanah sukar dijumpai apabila berlaku tekanan air rendah menyebabkan kebocoran tidak dapat dikesan.

“Di kawasan tekanan air tinggi lebih mudah dikesan kerana air keluar dan boleh dilihat dengan mata kasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program Taklimat Status Semasa Bekalan Air di Negeri Kelantan dan Persediaan AKSB untuk Hari Raya Aidiladha, di sebuah hotel, di sin,i pada Ahad.

Menurutnya, walaupun pengeluaran air tinggi, bekalan tidak dapat disalurkan sepenuhnya kepada rakyat disebabkan kehilangan air dalam sistem agihan.

Bagi mengatasi masalah itu, katanya, AKSB akan melaksanakan sistem pengesanan kebocoran dengan membeli peralatan pengesan selain membaiki segera paip bocor.

Menurutnya, AKSB juga bersedia menambah kakitangan sekiranya jumlah sedia ada tidak mencukupi bagi melaksanakan operasi mengesan kebocoran paip dengan lebih efisien.

“Apabila kita beli alat pengesan dan menambah kakitangan sudah tentu akan menambah kos, namun kita tidak kompromi kerana setiap penurunan NRW akan menambah hasil pendapatan kepada AKSB,” jelasnya.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️