Institusi pondok tiang seri kekuatan ummah – Exco Agama
Oleh: Asri Hamat
PASIR MAS, 7 Mei – Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menyifatkan institusi pondok sebagai antara tunjang utama dan tiang seri dalam sesebuah negeri kerana peranannya dalam membentuk kekuatan ummah serta memperkukuhkan pengajian agama Islam.
Beliau menegaskan, kewujudan pondok perlu terus diperkasakan kerana institusi itu mempunyai keistimewaan tersendiri dalam melahirkan masyarakat berilmu agama.
Katanya, Kelantan sehingga kini masih mempunyai banyak institusi pondok, begitu juga di Kedah dan Terengganu, berbanding beberapa negeri lain yang semakin berkurangan institusi berkenaan.
“Pondok menjadi antara tunjang dan tiang seri dalam sesebuah negeri.
Jadi kerajaan negeri ingin memperkukuhkan pondok yang ada dan pembinaan pondok baharu amat dialu-alukan kerana pondok merupakan kekuatan kepada ummah”.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Ziarah Mahabbah Pondok 2026 anjuran Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) di Pondok Hidayah Bamboo Rajawali, Kampung Pangkal Kala, di sini hari ini.
Sumber: inforakyat.kelantan.my