Libat urus pelbagai pihak tambah nilai perancangan digital Kelantan
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 16 April — Penyertaan pelbagai pihak berkepentingan dalam Bengkel Sesi Libat Urus Cadangan Penubuhan Perbadanan Digital Negeri Kelantan memberi nilai tambah signifikan kepada perancangan strategik pembangunan digital negeri, sekali gus memperkukuh hala tuju pendigitalan yang lebih tersusun dan berdaya saing.
Demikian kenyataan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat pada majlis makan malam sempena bengkel tersebut yang berlangsung di sebuah hotel di sini, pada Rabu.
Beliau menzahirkan penghargaan atas kehadiran Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Kelantan Dato’ Azi Rahimee Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Digital Economy Corporation Berhad Dato’ Ir. Ts. Sudarnoto Osman dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan, Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof serta semua undangan.
Menurutnya, kehadiran barisan pemimpin, pakar industri dan pemegang taruh strategik memberi impak besar dalam menjayakan sesi libat urus berkenaan.
Sumber: inforakyat.kelantan.my